Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Rakyat Malaysia dan Singapura dihidangkan dengan jerebu tebal yang berasal dari pembakaran terbuka hutan di Indonesia.

Kita telah menyaksikan bahawa indeks pencemaran udara telah melepasi tahap sangat bahaya. Kehidupan harian terjejas dengan penutupan sekolah dan institusi lain.

Malah, ia juga telah memberikan sedikit ketegangan hubungan antara negara terbabit. Syukur kita ucapkan, di sebalik banyak rungutan, pemimpin dan rakyat negara kita masih lagi boleh bersabar dan berfikiran rasional.

NONE Ini bukanlah kali pertama krisis jerebu berlaku di rantau Asia Tenggara. Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian, kita boleh menjangkakan bahawa krisis pencemaran merentas sempadan ini akan terus berlaku di masa hadapan.

Sejarah membuktikan bahawa banyak krisis merentas sempadan telah direkodkan dan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk menyelesaikannya.

Seharusnya kita menyediakan payung sebelum hujan, bukan sudah terhantuk baru terngadah.

Artikel ini tidak bertujuan untuk menuding mana-mana pihak yang bersalah, tetapi untuk membawa pembaca memikirkan dan mengambil peduli era baru pencemaran merentas sempadan ini.

Impak pada dunia

Sejak zaman perindustrian, berbagai bentuk pencemaran direkodkan. Pencemaran udara, air, radioaktif, tumpahan minyak, bahan kimia berbahaya, hujan asid dan berbagai lagi.

Penyebaran pencemaran melalui udara sangat cepat dan susah untuk dikawal. Ia memerlukan tindakan pantas pihak yang berkaitan.

Sekiranya ia hanya melibatkan jerebu, mungkin rakyat masih boleh bertahan untuk satu jangka waktu. Tetapi, sebagai contoh sekiranya ia melibatkan pencemaran radioaktif, sudah tentulah ia akan membawa musibah yang besar.

azlan Pada abad ke-13, King Edward I menjatuhkan hukuman keras terhadap penduduk kota London yang melakukan pembakaran terbuka arang batu. Revolusi industri telah memburukkan lagi keadaan.

Pada tahun 1952, pencemaran dari kilang dan rumah telah bercampur dengan pengewapan udara sehingga membunuh 4,000 penduduk London hanya dalam beberapa hari sahaja.

Sebagai contoh yang lain, Greenpeace melaporkan bahawa 70 peratus dari sungai dan tasik di China telah dicemar oleh bahan buangan industri.

Ini memaksa lebih dari 300 juta penduduknya menggunakan sumber air yang tercemar. Bayangkan sekiranya pencemaran tersebut merentas sempadan, sudah tentu ia memberikan impak yang lebih besar terhadap masyarakat dunia.

Mangsa kealpaan

Sementara itu, kita tentu masih ingat tragedi tumpahan minyak Exxon Valdez pada tahun 1989. Sebanyak 11 juta gelen minyak mentah ke laut Alaska. Ia mengakibatkan pencemaran minyak sehingga 3,000 batu persegi, membunuh ribuan burung, ikan dan hidupan liar.

NONE Lebih tragis lagi bila kita mengenangkan peristiwa kebocoran loji nuklear Chernobyl pada tahun 1986. Kesan radiasi menjangkau sehingga ke langit Sweden sejauh kira-kira 1,100 kilometer.

Sweden mengesan lonjakan bacaan radiasi di ruang udaranya. Setelah yakin bahawa tiada kebocoran loji nuklear di negara mereka, Sweden mendesak Soviet Union sehingga membawa pengumuman rasmi peristiwa tersebut oleh Presiden Mikhail Gorbachev.

Dianggarkan kira-kira 6.6 juta orang terkena radiasi, yang mana 9,000 orang adalah terdedah terhadap radiasi tinggi.

Rentetan peristiwa pencemaran di atas seharusnya menjadi rujukan untuk kita lebih bersedia menghadapi berbagai kemungkinan krisis pencemaran merentas sempadan.

Pelan tindakan bersama harus dirangka kerana jika pencemaran tersebut berskala besar, satu negara tidak mungkin mampu menyelesaikannya sendirian.

Sama ada kita mahu menggunakan pendekatan kehakiman atau musyawarah, sesuatu harus dilakukan bermula saat ini. Kita tidak mahu menjadi mangsa seperti di atas hanya kerana kealpaan kita.


MOHD HANAFI ANI, DR ENG, pembantu professor, Jabatan Pembuatan dan Bahan, Kulliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS