Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini berkata kadar bagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) masih belum diputuskan memandangkan ia masih perlu dikaji.

Menurutnya, sekiranya Malaysia melaksanakan GST tersebut, mekanisma bagi melindungi golongan berpendapatan rendah akan dilakukan dengan mengecualikan cukai ke atas barangan asas.

husni eon bank function 120310 ahmad husni "Tentunya kerajaan negara mahukan sistem kutipan cukai yang terbaik dalam menguruskan kewangan kerana peningkatan hasil akan membolehkan peningkatan perbelanjaan untuk kepentingan peningkatan ekonomi.

"Sekiranya dilaksanakan, kita dah buat kajian bahawa sekiranya diadakan, pengkadaran sifar GST pada barangan asas diperlukan oleh rakyat terutama golongan pendapatan rendah dalam konteks beras, gula, minyak masak, sayuran, ternakan, daging, ikan, udang ketam, ayam, elektrik untuk 200 kilowatt.

"Isu yang dibangkitkan iaitu kadar GST, (seperti) saya nyatakan, belum buat keputusan dan belum tetapkan kadar GST tersebut," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) di Parlimen hari ini.

Husni berkata lagi, kerajaan kini sedang menjalankan penerangan di seluruh negara mengenai model GST yang akan dilaksanakan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala pula sebelum ini berkata, Malaysia akan dapat menambah pendapatan sebanyak RM27 bilion jika cadangan cukai GST dilaksanakan seperti di Singapura.

Bagaimanapun, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) menjelaskan bahawa kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad berhubung pelaksanaan GST itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS