Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel menjadi sasaran kritikan DAP kerana didakwa mengutamakan panda yang akan dibawa dari China berbanding krisis jerebu di negara ini.
"Kenyataan (Palanivel) di akhbar hari ini bukan tentang jerebu tetapi tentang membina bangunan khas untuk panda dan bagaimana ia akan dihantar dalam masa terdekat.
"Ini tidak masuk akal, kita sedang berada dalam krisis jerebu, tetapi beliau bercakap tentang panda.
"Jika jerebu tidak selesai, China tidak akan benarkan panda itu datang," kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semasa pembukaan konvensyen kepimpinan Pakatan Rakyat di Ampang hari ini.
Lim juga menggesa pengisytiharan darurat di ekoran cuaca buruk di beberapa tempat di Johor, yang kebetulan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.
Bercakap dalam sidang media hari bersama Pakatan hari ini, Lim berkata beliau maklum pengisyhtiharkan telah dibuat tetapi kerajaan harus melakukan lebih daripada itu.
"Apa salahnya kerajaan memberikan topeng muka percuma di kawasan yang teruk dicemari," katanya.
Palanivel dilaporkan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dengan Persatuan Zoologi Malaysia (MZS) mengenai perlindungan panda gergasi dan program penyelidikan yang akan dijalankan di Zoo Negara.
Palanivel berkata MoU itu mengenai penjagaan dua beruang panda gergasi yang akan tiba di Zoo Negara pada Disember ini, dan tanggungjawabnya dipikul Jabatan Perhilitan dan MZS.
Katanya ruang eksibit khas yang bakal menjadi kediaman sepasang beruang panda dari China -- Fu Wa dan Feng Yi -- untuk tempoh 10 tahun akan datang itu dijangka siap sepenuhnya November ini.
Palanivel berkata kementeriannya juga akan menaik taraf kemudahan di Zoo Negara, antaranya mewujudkan safari malam yang membolehkan pengunjung melawat ke zoo pada waktu malam.
Kementerian itu akan membentangkan kertas kerja berhubung dengan penaiktarafan kemudahan dan infrastruktur Zoo Negara pada mesyuarat kabinet minggu depan, beliau dipetik sebagai berkata.
Program panda gergasi Malaysia-China itu simbolik sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara yang akan dirai tahun depan.