Seorang anggota Exo kerajaan Pulau Pinang menyelar Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Tan Sri Dr Sahol Hamid yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab apabila mengakui secara terbuka bahawa universiti tersebut menyokong BN dan Umno.
Exco Kerajaan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin (kiri) yang juga exco AMK Pusat berkata kenyataan Sahol itu juga "memalukan, dangkal serta menjatuhkan reputasi UiTM" sebagai sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini.
"Sebagai seorang ahli akademik yang bertanggungjawab mengetuai pentadbiran dan pengurusan UiTM, Dr Sahol Hamid tidak sewajarnya mengaitkan nama UiTM dalam mencahirkan dukungan politik beliau terhadap Umno-BN.
"UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi seharusnya dilihat berwibawa dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik," kata lulusan UiTM dalam jurusan perubatan itu.
Naib ketua AMK Pulau Pinang itu mengulas kenyataan Sahol dalam dalam wawancara yang disiarkan oleh Utusan Malaysia semalam, yang secara terbuka mengakui bahawa institusi pendidikan yang dipimpinnya menyokong BN dan Umno.
Beliau berkata hanya parti pemerintah itu dapat menjamin masa depan bumiputera dalam negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, Dr Afif yang juga ADUN Seberang Jaya menggesa Sahol supaya bersikap profesional dan berhenti menggunakan UiTM demi memenuhi kepentingan politik Umno-BN.
"Beliau sewajarnya menumpukan usaha dan komitmen dalam membangunkan kapasiti intelektual pelajar-pelajar UiTM serta menambahbaik mutu dan pencapaian UiTM supaya mampu bersaing secara lebih kompetitif di peringkat global," katanya.