Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi meneliti mengenai hasrat Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menyertai gabungan tiga parti pembangkang itu.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ( kanan ) berkata setakat ini tidak ada keputusan kerana belum ada konsensus bagi membolehkan parti sosialis itu untuk menyertai Pakatan.
"Keputusan hari ini adalah untuk membenarkan jawatankuasa daripada Pakatan untuk berbincang dengan jawatankuasa PSM.
"(Keputusan) hari ini bukan berkaitan menyertai Pakatan. Menyertai Pakatan bermaksud bersetuju dengan polisi bersama.
"Jadi kita bersikap positif dengan pandangan PSM. Kalau tidak ada masalah, kita akan mengadakan mesyuarat," katanya
Bercakap dalam sidang media, Anwar berkata, mesyuarat dengan PSM tersebut dijangka berlangsung minggu depan, bergantung kepada persidangan Parlimen.
Beliau turut diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, bahawa PSM tidak mempunyai ruang menyertai Pakatan.
Jelasnya, kenyataan Saifuddin itu adalah dari sudut keengganan parti kiri itu menyokong dasar bersama Pakatan.
"Tadi, kita kata kita beri ruang untuk teliti dulu (pandangan)... Saifuddin pun ada (dalam mesyuarat). Dia pun setuju," kata Anwar.
Sementara itu naib presiden PAS Salahuddin Ayub dalam sidang media sama berkata pertemuan antara wakil parti tersebut dengan pemimpin PSM, dua hari lalu, berlangsung dalam suasana "sangat bagus".
"Mereka menyuarakan pandangan mereka berhubung isu-isu yang berlaku sebelum dan selepas pilihan raya.
"Kita beri komitmen kita. Kita terbuka dan mendengar segala pandangan mereka... Kami akhiri ketetapan bahawa apapun isu dan masalah akan tetap dibincang atas nama Pakatan Rakyat," katanya.