Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KM Melaka: Resipi asam pedas Melaka akan dipatenkan

Produk terkenal negeri Melaka termasuk resipi masakan asam pedas bakal dipatenkan bagi melindungi masakan itu sebagai salah satu warisan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Idris Haron.

"Kita akan menganjurkan satu pertandingan masakan asam pedas dan (resipi) yang terbaik itu kita akan patenkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Hari Harta Intelek Negara di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Melaka, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui portfolio Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna Dan Koperasi akan menyenaraikan produk-produk Melaka yang dilihat berpotensi untuk didaftarkan sebagai harta intelek.

Katanya Melaka mempunyai pelbagai produk terkenal seperti cencaluk, dodol, gula melaka dan kebaya nyonya yang belum dipatenkan.

"Apa yang kita guna setiap hari secara tidak sedar rupanya kita belum patenkan lagi," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS