Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tindakan pembangkang yang tidak hadir dalam sesi taklimat di Parlimen semalam merupakan perkara yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Hishammuddin, tindakan yang dilakukan pembangkang itu juga menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati serta tidak berterima kasih kepada rakyat yang telah memilih mereka.

NONE "Sungguh tak bertanggungjawab. Ada seorang yang saya lihat dari pembangkang semalam. Bukan saja tak hormati Yang Dipertua (Dewan Rakyat), tak hormati proses sedia ada.

"Apa mereka lakukan tak menggambarkan penghormatan, pengiktirafan dan terima kasih pada rakyat yang telah mereka di situ," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang hari ini.

Semalam, seramai 88 daripada 89 ahli parlimen Pakatan Rakyat gagal untuk hadir dalam sesi taklimat mengenai tempat duduk dan isu-isu lain di Parlimen.

Menurut Speker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, hanya seorang sahaja ahli parlimen dari pembangkang yang hadir pada sesi taklimat itu iaitu MP Bakri dari DAP, Er Teck Hwa.

Er bagaimanapun telah memohon maaf ekoran tindakannya menghadiri taklimat itu dan diberi amaran keras oleh DAP kerana dianggap "telah melanggari displin parti".

Hishammuddin juga berkata dengan tindakan memulau itu dapat memberi gambaran sama ada pembangkang ikhlas untuk berkhidmat pada rakyat atau tidak.

"Cukup-cukuplah berpolitik. Ada negeri yang jatuh pada pembangkang, dah angkat sumpah, ada yang dah hantar petisyen. Apa lagi yang mereka mahukan.

"Dengan apa yang mereka lakukan ini, akhirnya orang dapat melihat sama ada mereka ikhlas untuk berkhidmat pada rakyat atau berpolitik selamanya," katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS