Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

VIDEO l 2.45 min

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menggesa polis menyiarkan gambar dan nama polis yang keempat yang sepatutnya didakwa di mahkamah dalam kes kematian N Dhamendran.

Menurutnya, tindakan itu akan membolehkan orang ramai membantu tugas polis menangkap suspek kerana dia kini juga berada dalam senarai orang yang dikehendaki polis.

"Semalam dalam akhbar Oriental Daily dilaporkan, polis di Shah Alam mengadakan sidang media bagi mendedahkan gambar, nama, dan alamat tiga nama suspek satu kes bunuh.

"Jadi saya gesa polis buat perkara yang sama dalam (kes) N Dhamendran, iaitu pertama, papar foto pegawai polis tersebut di dalam semua akhbar.

"Kedua, gambar, nama, dan alamat inspektor itu dipamer di semua balai polis di Malaysia kerana dia kini adalah orang dikehendaki polis," katanya selepas membuat laporan polis bagi menggesa perkara yang sama di Jinjang pagi tadi.

Pada 5 Jun lalu tiga anggota polis, seorang berpangkat sarjan dan dua lagi berpangkat koperal, bersama seorang lagi yang masih lagi bebas dituduh membunuh N Dhamendran yang ditemui mati di dalam lokap pada 21 Mei.

Sementara Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pula dilapor berkata polis sedang memburu seorang pegawai polis yang menghilangkan diri selepas disyaki terlibat dalam kes tersebut.

Bercakap lanjut, Lim berkata polis akan dilihat mengamalkan pilih kasih jika mereka tidak mahu menyiarkan gambar suspek dalam kes yang melibatkan polis sendiri.

"Kalau polis enggan berbuat demikian, polis akan dilihat seperti tidak telus dan mengamalkan double standard ," katanya.

Sementara itu, Lim turut menggesa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) agar menyenaraikan satu lagi terma rujukan untuk diteliti pasukan petugas bagi mengkaji kematian dalam tahanan polis.

Menurutnya, mereka perlu menyiasat sebab polis memberikan punca berbeza daripada dapatan koroner pada peringkat awal kes kematian Dhamendran.

"Saya akan tulis surat rasmi untuk gesa SIAP tambah satu lagi terma rujukan - untuk siasat kenapa pada awalnya pihak polis menyatakan sebab kematian Dhamendran adalah kerana kesukaran bernafas," katanya.

Peguam Negara Tan Sri Abd Gani Patail dilapor berkata bedah siasat yang dijalankan Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mei ke atas mayat tersebut mendapati punca kematian adalah kecederaan akibat hentakan objek tumpul.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS