Menteri pembangunan wanita Datuk Rohani Abdul Karim hari ini enggan mengulas apabila ditanya mengenai satu memorandum dari delegasi Mongolia yang menuntut jawapan berhubung kes kematian seorang wanita warganya, Altantuya Shaariibuu.
Rohani dalam satu sidang media hari ini berkata, delegasi Mongolia itu tidak mengemukakan memorandum tersebut kepadanya.
Katanya lagi, kes itu juga kini telahpun ditangani.
“Saya berada di sana dan saya tidak menerima apa-apa surat. Delegasi tersebut tidak bertemu saya,” katanya yang merujuk kepada Sidang Kemuncak Global Wanita di Kuala Lumpur pada minggu lalu.
“Perkara ini telahpun ditangani. Saya tidak ingin mengulas sebab pertamanya, mereka tidak menemui saya.
“Delegasi Mongolia merupakan kumpulan paling besar yang menyertai sidang kemuncak itu. Kami mengalu-alukan mereka. Kami mahu mereka lihat bahawa Malaysia bukannya seperti yang digambarkan sesetengah pihak,” katanya.
Presiden Persekutuan Wanita Mongolia (MWF), J Erdenechimeg yang menjadi wakil ke persidangan berkenaan pada hari Jumaat lalu berkata, perbicaraan baru harus dimulakan untuk mengetahui siapa yang bertanggungjawab atas kematian Altantuya.
"Kami membuat permintaan khusus kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia untuk bertindak atas ini dan supaya perbicaraan segera diadakan," tegasnya.
Beliau yang diiringi kira-kira 70 anggota delegasi berkata MWF juga berharap agar bantuan kewangan diberikan kepada dua orang anak mendiang Altantuya.