Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata sekretariat Pakatan Rakyat akan mengemukakan surat rasmi berhubung keputusan untuk menolak permohonan Parti Sosialis Malaysia (PSM) ke dalam gabungan parti berkenaan.
Bagaimanapun, soal yang lebih penting adalah keputusan Pakatan sendiri untuk menolak permohonan tersebut, katanya seperti dilaporkan Sinar Harian Online.
"Keputusan kita jelas, kita tak terima, kita tolak. Soal paling penting adalah soal keputusan permohonan, jadi kita dah putuskan sebelum ini untuk tolak," katanya seperti dipetik laman tersebut.
Kenyataan itu bagi menjawab tuntutan setiausaha agung PSM S Arutchelvan agar Pakatan mengeluarkan surat rasmi berhubung keputusan berkenaan.
Arutchelvan membuat tuntutan berkenaan susulan kenyataan pengerusi DAP Karpal Singh, yang mahu Pakatan mempertimbangkan permohonan PSM untuk menyertai gabungan parti berkenaan.
Mengulas mengenai saranan Karpal itu, Saifuddin berkata MP berkenaan tidak mengetahui keputusan yang dibuat pemimpin tertinggi Pakatan berhubung keputusan tersebut kerana tidak hadir ke mesyuarat itu.
"Keputusan itu dibuat bersama Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang. Tanyalah mereka," katanya.
"Memang mesyuarat masa itu, kita tolak PSM... Karpal tidak hadir mesyuarat itu, sebab itu beliau tidak tahu," katanya seperti dipetik dalam laporan itu lagi.