Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Pemimpin dan ahli DAP akan mula membuat persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 dengan dua matlamat – membuat perubahan di peringkat Persekutuan dan juga kerajaan negeri Sabah

Matlamat Pakatan Rakyat di Sabah untuk memenangi sekurang-kurangnya sepertiga dari 26 kerusi parlimen di negeri ini tidak tercapai bagi membolehkan PR mengumpul 33 kerusi parlimen dari tiga negeri deposit tetap – Sabah, Sarawak, dan Johor – untuk membantu menggenapkan jumlah kerusi parlimen yang diperlukan untuk Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Dalam pilihan raya yang lalu, Pakatan hanya berjaya mendapatkan 14 kerusi Parlimen di ketiga-tiga negeri deposit tetap BN – tiga di Sabah, enam di Sarawak, dan lima di Johor), iaitu hanya 16.9% dari keseluruhan 83 kerusi parlimen yang dipertandingkan di ketiga-tiga negeri dan bukannya 33.3 peratus seperti yang disasarkan.

Walaupun sasaran Pakatan untuk mendapatkan 33 kerusi parlimen di tiga negeri ini tidak tercapai, Sabah, Sarawak, dan Johor tidak lagi boleh dianggap sebagai deposit tetap bagi BN, manakala persaingan untuk memenangi hati dan minda rakyat negeri berkenaan kini terbuka sepenuhnya untuk semua pihak.

Di Sabah, kehadian pembangkang di DUN semakin kuat, setelah dua dekad lamanya. Kini DUN Sabah dianggotai oleh 11 ADUN daripada Pakatan Rakyat (empat DAP, tujuh PKR) dan seorang daripada Star.

Bagaimanapun, pilihan raya umum pada 5 Mei lalu memberi pengajaran berharga kepada Pembangkang di Sabah, memandangkan BN dapat ditewaskan di empat kerusi parlimen dan lapan kerusi dewan undangan negeri jika tidak berlaku perpecahan undi untuk calon-calon Pembangkang.

Empat kerusi parlimen itu ialah Kota Marudu, Keningau, Tenom dan Pensiangan, manakala lapan kerusi DUN yang berkenaan ialah Kiulu, Kundasang, Paginatan, Tambunan, Liawan, Melalap, Nabawan dan Elopura.

Malah, jika pembangkang bersatu ia mungkin boleh memenangi 11 kerusi Parlimen (iaitu tiga yang telah dimenangi, ditambah dengan empat yang terlepas daripada genggaman kerana undi pecah, dan empat lagi kerusi, iaitu Beaufort, Tuaran, Ranau dan Kota Belud) dan 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (iaitu 12 yang ada sekarang, ditambah dengan lapan yang terlepas kerana undi pecah dan enam lagi, iaitu Tanjong Kapor, Karanaan, Kemabong, Sook, Karamunting dan Tanjong Papat).

Bagi PRU13 saya percaya lebih mudah untuk Pakatan merebut kerajaan persekutuan di Putrajaya daripada memenangi kerajaan negeri Sabah.

Bagaimanapun, Pakatan menghadapi cabaran yang amat berbeza untuk pilihan raya umum ke-14 kerana ia mempunyai dua objektif serangkai – untuk memenangi kerajaan persekutuan di Putrajaya dan juga merebut Kerajaan Negeri Sabah.

Atas sebab ini, saya ingin mengingatkan para pemimpin, ahli, dan penyokong DAP serta Pakatan bahawa kita tidak mempunyai masa untuk berehat kerana kita harus segera memulakan kerja untuk mencapai matlamat yang gagal kita capai dalam pilihan raya umum ke-13.

Kita juga perlu membina asas yang kukuh bagi merebut pentadbiran Sabah dalam pilihan raya umum umum ke-14.

Atas sebab ini juga, selain empat kerusi DUN yang telah DAP miliki, DAP Sabah akan segera memberikan tumpuan terhadap 13 kawasan untuk membantu Pakatan Rakyat mencapai kedua-dua matlamatnya dalam pilihan raya umum ke-14.

Kawasan terbabit adalah Elopura, Karamunting, Tanjong Papat, Tanjong Aru, Karanaan, Paginatan, Tanjong Kapor, Melalap, Kemabong, Liaiwan, Sook, Tambunan dan Merotai.

Untuk membantu kempen DAP dan Pakatan di Sabah bagi pilihanr raya umum ke-14, ahli Parlimen dan ADUN DAP di dalam dan luar Sabah digalakkan untuk mengambil salah satu dari 13 kawasan berkenaan sebagai kawasan angkat.

Jawatankuasa Negeri Sabah bersama-sama dengan Teresa Kok, penyelaras CEC bagi Sabah dan Sarawak, akan merangka perincian bagi program kawasan angkat ini yang akan membolehkan lebih daripada seorang wakil rakyat DAP dilantik sebagai wakil rakyat angkat bagi setiap satu dari 13 kawasan terbabit.

Sebagai langkah mula, saya akan mengambil Karanaan sebagai DUN angkat memandangkan saya telah melawat Ranau untuk Pesta Kaamatan Kg Sarapong kelmarin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS