Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jambatan runtuh, mayat dapat dikeluarkan malam ini
Diterbitkan:  Jun 7, 2013 2:54 PM
Dikemaskini: 5:48 PM

dikemaskini 10.40pm Mayat lelaki yang terperangkap dalam timbunan runtuhan tanjakan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dalam pembinaan di Batu Maung dapat dikeluarkan pada pukul 8.45  malam ini.

   

Mayat dikeluarkan anggota pasukan keselamatan dan terus dibawa ke  Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat, lapor Bernama .

   

NONE Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mangsa dikenali sebagai Tajuddin Zainal Abidin, 45 dan tinggal di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas.

   

Beliau berkata mayat itu dicam oleh isteri dan abang mangsa di tempat kejadian setelah Tajuddin yang menaiki kereta jenis Kelisa tidak pulang ke rumah sejak semalam.

   

Mayatnya ditemui dalam keadaan tunduk di tempat duduk pemandu dan keretanya remuk akibat dihempap tanjakan konkrit itu.

   

"Pada sebelah petang tadi, abang mangsa ada datang ke lokasi dan membuat pengecaman berdasarkan pakaian yang dipakainya itu adalah adiknya dan selepas mayat dikeluarkan, isteri mangsa sekali membuat pengecaman dan mengaku lelaki yang memakai pakaian itu adalah suaminya," katanya pada sidang media malam ini.

   

NONE Abdul Rahim berkata bagaimanapun pengecaman bagi mengenal pasti identiti mangsa akan dibuat di bilik mayat HPP dan bedah siasat dijalankan pada pukul 10.30 malam ini.

   

Katanya operasi mencari dan menyelamat diteruskan berikutan beberapa maklumat yang di perolehi memaklumkan ada mangsa lain terlibat dalam kejadian runtuhan berkenaan.

   

"Kita tidak pasti sama ada maklumat (ada beberapa mangsa lain  terlibat) yang dapat itu tepat atau tidak tetapi operasi akan diteruskan.

   

Setakat ini hanya satu laporan polis yang kita terima kehilangan anggota keluarga iaitu dari keluarga mangsa (Tajuddin)," katanya.

NONE Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau  Pinang Mohd Shoki Hamzah berkata pihaknya akan menggunakan unit anjing  pengesan (K-9) esok bagi meneruskan operasi  mencari dan menyelamat.

   

"Unit K-9 Kuala Lumpur akan datang membantu kita esok bagi mengesan  mangsa yang mungkin masih terperangkap di bawah timbunan runtuhan  berkenaan," katanya.

Menurutnya, setakat ini kerja-kerja pembersihan lokasi berlaku runtuhan berkenaan sedang dijalankan dan ia akan diteruskan sehingga selesai.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah

mengeluarkan arahan berhenti kerja pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua berikutan kejadian kejatuhan bahagian yang sedang dibina malam tadi.

Pengarah kejuruteraan MPPP, Adnan Mohd Razali menyerahkan arahan itu kepada pengurus projek kontraktor utama Jambatan Kedua Sdn Bhd dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan yang melawat tempat kejadian itu hari ini berkata arahan henti kerja itu akan berkuatkuasa sehingga kontraktor memastikan projek tersebut selamat. 

Sementara itu, Bernama melaporkan Adnan sebagai berkata kerja pembinaan di tapak berlakunya runtuhan tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang dihentikan serta-merta kerana membahayakan keselamatan orang awam.

   

Katanya, kontraktor terlibat juga diarah mengambil langkah untuk membaik pulih keadaan di tapak berlaku runtuhan berkenaan.

   

"Struktur landasan tersebut telah runtuh ke atas jalan awam malam tadi dan ia membahayakan keselamatan orang awam," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media di tempat kejadian hari ini.

   

NONE Sementara itu, Guan Eng pula berkata, tragedi itu berlaku atas masalah kejuruteraan dan "kita harus mempunyai seorang jurutera yang boleh mengetuai kerja-kerja mencari dan menyelamat.

   

"Tetapi sehingga hari ini, usaha menyelamat mangsa telah gagal dan setakat ini hanya kerja pembersihan kerana usaha untuk menyelamatkan mangsa amat tipis," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang Mohd Shoki Hamzah berkata pasukan penyelamat sedang memasang empat jek hidraulik untuk membuka ruang runtuhan bagi membolehkan mayat mangsa

dikeluarkan.

   

"Jek hidraulik dipasang bagi memudahkan usaha mengeluarkan mayat mangsa kerana keretanya masih terhalang dengan sisa-sisa runtuhan konkrit dan besi. Sebanyak empat jek hidraulik dipasang dan setiap satu mampu menampung sehingga 200 tan," katanya kepada pemberita.

   

Mohd Shoki berkata operasi mengeluarkan mayat agak lambat kerana memerlukan alatan dan mesin yang sesuai sambil menegaskan kerja mencari dan menyelamat dibuat mengikut prosedur.

   

"Setakat ini memang kita jumpa mayat seorang lelaki sahaja tetapi kita pasang jek hidraulik berkenaan bagi memudahkan kita menjalankan usaha mencari jika ada mangsa lain dalam runtuhan itu.

   

"Kepada soalan mengapa ia lambat (keluarkan mangsa), jawapannya ialah kerana kita menggunakan mesin dan jentera khas untuk keluarkan mangsa," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS