Gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter berlaku di Borneo pada 3.23 pagi ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Gempa bumi itu berpusat di 31km Barat Laut dari Tarakan, Indonesia dan 118km Barat Daya dari Tawau, Sabah dan dirasai gegarannya di Tawau.
Menurut jabatan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, ia sedang memantau perkembangan kejadian itu.
Di Tawau , Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi yang melanda Borneo itu.
Menurut jurucakap JBPM Tawau, pihaknya menerima beberapa panggilan daripada orang awam sekitar pukul 3.30 pagi berhubung perkara itu.
"Setakat ini tiada sebarang kejadian yang melibatkan apa-apa kemusnahan," katanya.
-Bernama