Pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) P Uthayakumar dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan selepas didapati bersalah membuat kenyataan hasutan pada 2007.
Beliau didakwa memuatkan bahan hasutan dalam surat yang ditulis antara 15 November hingga 8 Disember 2007 kepada perdana menteri British ketika itu Gordon Brown, yang mendakwa terdapat pembersihan etnik India miskin di Malaysia.
Dia juga memuatkannya di laman web Police Watch yang tidak lagi beroperasi.
Pada Isnin, Uthayakumar menolak untuk menyambung pembelaannya atas alasan bahawa keadaan kes itu tidak membenarkannya untuk meneruskannya. Dia juga enggan membuat penghujahannya pagi ini.
Kes itu didengar oleh Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Uthayakumar kelihatan begitu tenang ketika hukuman dijatuhkan dan
malah tersenyum kepada penyokong selepas sidang mahkamah ditangguhkan.
Juga hari ini, adik Uthayakumar, P Waythamoorthy (kiri), yang mengetuai Persatuan Hindraf Malaysia, mengangkat sumpah sebagai senator.
Waythamoothy bulan lalu dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.