Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata beliau menunggu surat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat selama empat bulan berhubung permohonannya melawat tapak serta laporan projek pembinaan hospital di kawasannya.

Selaku wakil rakyat Shah Alam, Khalid berkata beliau bertanggungjawab untuk mengetahui perkembangan pembinaan hospital tersebut.

NONE Katanya lagi, surat permohonan untuk melawat tapak serta laporan tentang projek pembinaan itu telah diberi kepada syarikat kontraktor pembinaan pada Februari lalu.

Bagaimanapun, katanya, syarikat tersebut meminta beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat, untuk memohon pada JKR negeri pada bulan yang sama.

"Lepas hantar surat pada JKR negeri, dia jawab kena dapatkan kelulusan daripada JKR Pusat dan saya telah hantar surat. Sampai sekarang saya tak dapat surat balasan.

"Ini bukan nak bina tempat simpan nuklear. Ini hospital. Apa susah sangat nak beri kebenaran dan laporan. Mereka cuma perlu beri penerangan dan sejauhmana projek itu dah berjalan seperti yang dirancang.

"Ini bukan milik Umno. Ini milik rakyat. Bukan guna duit Umno tapi duit rakyat. Dan saya wakil rakyat kepada rakyat Shah Alam," katanya.

NONE Beliau yang juga timbalan pesuruhjaya PAS III Selangor berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya hari ini. 

Sebelum ini penangguhan berhubung projek tersebut berlaku ekoran pertukaran tender kepada kotraktor pembinaan. Hospital yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam itu dijangka siap pada Oktober tahun ini.

Pada Disember tahun lalu, menteri kerja raya ketika itu Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dilapor berkata kerja-kerja struktur hospital itu 98 peratus siap namun masih perlu menunggu kerja mekanikal dan kerja elektrik.

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja berkenaan dijangka siap pada Oktober 2013 dan akan menyediakan 300 katil dan membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang.

Pemimpin PAS itu juga mendakwa daripada sumber dalaman yang diperolehinya, projek itu kini tertangguh lebih 70 hari .

Sehubungan itu, Khalid meminta supaya Menteri Kerja Raya yang baru Datuk Fadillah Yusof supaya campur tangan berhubung perkara ini.

"Jadi saya minta supaya menteri kerja raya yang baru supaya ambil kira tentang perkara ini dan beri kebenaran kepada saya untuk melawat tapak dan beri laporan perkembangan projek," katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS