Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Musa: Larangan Nurul Izzah ke Sabah tak bermotif politik

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata pintu Sabah sentiasa terbuka kepada mereka yang mahu melihat dan menghayati kepelbagaian etnik dan budaya selain menyertai perayaan di negeri itu.

Katanya Sabah juga mengalu-alukan mereka yang menghormati masyarakat sivil iaitu yang berpegang kepada undang-undang bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian.

    

"Bagaimanapun, jika kami ada sebab untuk percaya kehadiran anda di sini akan menggugat suasana ideal yang dinikmati Sabah selama ini, anda tidak dialu-alukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

    

Musa berkata bertentangan dengan apa yang disebar menerusi media sosial, larangan memasuki Sabah yang dikenakan terhadap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar tidak bermotifkan politik.

    

"Ada pemimpin pembangkang lain yang datang dan bebas bergerak di seluruh Sabah terutama menjelang pilihan raya lalu. Mereka menyebarkan resepi lama yang sama mengandungi pembohongan, penipuan dan fitnah untuk mengaburi mata rakyat. Kami tidak halang mereka," katanya.

    

"Sekarang pilihan raya sudah berakhir, pemimpin mereka enggan menerima keputusan. Ini kes orang kempunan. Beliau mahu menimbulkan rasa bengang rakyat agar berarak di seluruh negara bagi menunjukkan rasa tidak puas hatinya," kata Musa.

    

"Kami ada sebab untuk percaya niat Nurul Izzah ke Sabah kali ini mungkin tidak sebaik seperti yang beliau dan rakannya dalam pakatan pembangkang nyatakan," katanya.

    

Nurul Izzah dihalang daripada memasuki negeri itu pada Khamis.

    

Musa berkata Sabah dan rakyatnya tidak perlukan propaganda berterusan daripada pembangkang bagi membangkitkan rasa benci dan prasangka rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional.

    

"Cukup-cukuplah. Kita perlu bergerak ke hadapan. Pembangkang sudah bermain politik sejak lima tahun lepas. Adakah kita akan terus diikat dengan lebih banyak politiking untuk lima tahun akan datang?

    

"Ada kerja yang perlu dilakukan. Negara ini perlu ditadbir, ekonomi perlu bertumbuh dan kebajikan rakyat perlu dijaga," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS