Isteri N Dhamendran yang mati dalam tahanan, kecewa kerana anggota polis yang dikaitkan dengan kematian suaminya diberikan tugas pejabat dengan cadangan mereka digantung kerja, sedangkan mereka sepatutnya telah ditangkap sejak awal lagi.
"Mereka telah membunuh suami saya. Mereka sepatutnya
berada dalam lokap," katan S Marry sambil menambah bahawa mereka sepatutnya digantung sampai mati.
Empat anggota polis, termasuk seorang pegawai, yang sebelum ini menyiasat kes tembak di Bandar Tun Razak, Cheras membabitkan Dhamendran, kini ditugaskan di unit kerja pejabat di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).
Marry bertanya sekiranya orang awam yang membunuh seseorang, apakah mereka akan dibiarkan bebas.
"Ini anggota polis yang melakukan pembunuhan," kata ibu kepada seorang anak lelaki yang berusia dua tahun.
Dharmendran dilaporkan ditahan polis selepas membuat laporan polis susulan satu pergaduhan yang melibatkan dirinya pada 11 Mei.
Isteri dan ibu bapanya hanya mengetahui mengenai penahanan tersebut pada 19 Mei dan mengunjungi Dharmendran di lokap polis.
Dia sepatutnya dibebaskan dengan jaminan pada 21 Mei namun Marry menerima panggilan yang menyatakan bahawa Dharmendran telahpun meninggal dunia.
Ketua CID Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah sebelum ini dilaporkan berkata lelaki 31 tahun itu mati akibat kesukaran bernafas.
Polis kemudiannya mengkategorikan kes tersebut sebagai kes bunuh apabila perunding patologi daripada Hospital Kuala Lumpur mengesahkan bahawa Dharmendran meninggal dunia akibat "kegagalan fungsi kecederaan tisu lembut akibat pukulan ke badan".
Polis telah mengklasifikasikan kematian Dhamendran sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Marry membuat gesaan itu selepas peguam N Surendran mendedahkan laporan bedah siasat ke atas Dharmendran di ibupejabat PKR pagi ini, yang membayangkan dia telah digari dan dipukul hingga mati.
Surendran yang juga MP Padang Serai berkata polis sudah tahu punca kematian Dharmendran apabila mereka menyerahkan laporan bedah siasat kepada peguam keluarganya pada jam 11 pagi semalam.
"Berdasarkan laporan ini, di segi undang-undang, ada bukti yang cukup untuk mengenakan tuduhan pembunuhan terhadap semua anggota polis yang terlibat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Tetapi sebaliknya, anggota tersebut dipindahkan ke unit keraja, ini adalah satu jenaka ... Kami menuntut semua anggota polis yang terlibat ditangkap segera. Maksud saya hari ini -. dalam masa satu jam," katanya
Katanya, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh tidak boleh diikat jamin dan mesti berada dalam tahanan sehingga perbicaraan mereka selesai tetapi mereka masih "berjalan bebas".