Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan bersalah terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo bagi tuduhan rasuah yang berkaitan dengan pembelian dua lot tanah berharga dan sebuah rumah di Shah Alam, semasa menjadi penjawat awam.
Keputusan oleh Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Abu Samah Nordin itu dibuat sebulat suara. Panel hakim lain ialah Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Aziah Ali.
Hakim Azahar, ketika membaca penghakiman itu, berkata mereka mendapati tidak ada keperluan untuk mengganggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohtaruddin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) apabila beliau menolak semua alasan rayuan yang dikemukakan oleh peguam Khir.
"Berdasarkan rekod rayuan, kami berpuas hati untuk menolak rayuan itu kerana kami merasakan bahawa perayu harus didapati bersalah seperti yang didakwa.
"Hakim perbicaraan adalah betul untuk mensabitkan tertuduh terhadap pertuduhan melampaui keraguan yang munasabah," katanya.
Khir diwakili oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Mahkamah Tinggi, pada 23 Disember 2011, menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas khir dan melucuthak harta tersebut.
Khir merupakan menteri besar Selangor yang kedua disabitkan kesalahan rasuah, selepas Datuk Harun Idris.
Walaupun pihak pembelaan mengemukakan 33 alasan rayuan, tetapi mahkamah menggabungkannya kepada enam perkara, iaitu:
- Persoalan sama ada dia adalah seorang penjawat awam;
- Sama ada pembayaran sebanyak RM3.5 juta untuk membeli harta itu mengikut harga pasaran;
- Sama ada dia mempunyai hubungan dengan pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni;
- Sama ada Shamsuddin telah menjadi rakan kongsi dalam jenayah;
- Kredibiliti kontraktor Nasir Ismail; dan
- Sama ada pembelaan Khir boleh diterima.
Kepada semua soalan tersebut, Hakim Azahar berkata hakim Mahkamah Tinggi betul berhubung fakta bahawa Khir adalah seorang penjawat awam - iaitu bekas MB dan bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) - dan mahkamah berpuas hati dengan kredibiliti Shamsuddin, yang menjual rumah untuk Khir, bersama-sama dengan Nasir sebagai kontraktor yang mengubahsuai harta tersebut.
Katanya, Khir telah menunjukkan minat dalam harta yang dinyatakan di atas sebelum Shamsuddin menjual kepadanya, malah dia juga telah membayar terlebih dahulu kos pengubahsuaian.
Menurutnya, RM3.5 juta itu bukan jumlah yang adil dan munasabah untuk membelinya kerana Shamsuddin telah membeli hartanah itu pada harga RM5.5 juta beberapa tahun sebelumnya.
Oleh itu, Hakim Azahar berkata, adalah perlu bagi Mahkamah Rayuan untuk tidak mengganggu penghakiman Mahkamah Tinggi.
Mengenai hukuman ke atas Khir, Hakim Abu Samah berkata petang ini bahawa hukuman itu adalah budi bicara mahkamah dan "kita tidak cenderung untuk mengganggu hukuman (oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam), termasuk pelucutan hak, kerana subjek pertuduhan adalah harta yang berharga. "
"Kami mengekalkan hukuman dan pelucutan hak tersebut," Hakim Abu Samah memerintah.
Shafee berkata, beliau menerima arahan supaya merayu keputusan itu dan memohon penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
"Kami akan memfailkan rayuan esok," kata Shafee.
DPP Dusuki Ahmad membantah sebarang penangguhan hukuman, dengan alasan sesuatu rayuan tidak beroperasi sebagai penggantungan pelaksanaan hukuman.
Bagaimanapun, Hakim Abu Samah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan Khir.