Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP: BN cuma turun harga kereta selepas PRU14
Diterbitkan:  May 29, 2013 12:14 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua meramalkan BN akan hanya akan memenuhi janji mereka untuk mengurangkan harga kereta selepas pilihan raya umum ke-14.

Katanya, ramalan itu adalah berdasarkan pengumuman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed semalam, bahawa harga kereta hanya akan turun dalam masa lima tahun lagi.

Beliau mendakwa, kenyataan Mustapa itu tidak menjelaskan perkara sebenar.

"Sebenarnya, kerajaan BN memberitahu rakyat Malaysia bahawa mereka boleh berhenti bermimpi untuk memiliki harga kereta yang murah dalam masa lima tahun akan datang kerana harga kereta cuma akan turun selepas PRU ke-14," katanya dalam satu kenyataan.

Mustapa semalam mengumumkan kadar pengurangan harga kereta akan dibuat secara berperingkat-peringkat sehingga 2017.

Jelasnya, kerajaan berjanji akan mengurangkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun seperti digariskan dalam manifesto mereka.

Janji berkenaan turut ditegaskan sekali lagi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi tulisan di Twitter semalam.

Pua seterusnya membidas kenyataan Mustapa bahawa pengurangan itu akan dibuat mengikut harga pasaran apabila terdapat peningkatan kecekapan dan persaingan di kalangan pemain industri automotif

"Kuasa pasaran apa yang diperkatakan ini, sedangkan sebab sebenar harga kereta di Malaysia jauh lebih mahal daripada adalah kerana cukai dan perlindungan kerajaan ke atas syarikat kenderaan tempatan yang tidak cekap," katanya.

Jelasnya, alasan tersebut tidak boleh diguna pakai kerana kuasa pasaran yang sama juga gagal menurunkan harga kereta dalam masa 20 tahun sebelum ini.

Beliau turut membidas dakwaan Mustapa bahawa pengurangan duti eksais dan harga kereta akan menyebabkan golongan pekerja dalam industri tersebut kehilangan mata pencarian.

Pua menjelaskan, pengurangan cukai tidak mengurangkan keuntungan pembuat kereta dan dan pengurangan duti eksais yang dicadangkan Pakatan Rakyat juga dicadangkan secara berperingkat.

Menurutnya lagi, pengurangan harga kereta sebanyak empat dan lima peratus setahun itu juga memberikan kesan yang terhad ke atas penurunan harga pasaran kereta terpakai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS