Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini 1.47pm Sebelas lagi penumpang bot ekspres yang karam di Sungai Rajang dekat Belaga di pedalaman Sarawak semalam berjaya diselamatkan, menjadikan jumlah penumpang yang terselamat dalam tragedi itu 192 orang, kata Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau.

    

Beliau berkata kumpulan terbaru mangsa itu diselamatkan lewat malam tadi oleh sebuah tongkang yang lalu di kawasan itu dan kemudiannya dibawa ke pusat perlindungan sementara di sebuah rumah panjang berhampiran lokasi kejadian.

    

azlan Katanya setakat ini jumlah sebenar penumpang yang menaiki bot itu tidak dapat dipastikan memandangkan senarai penumpang belum dikemukakan kepada polis.

    

Bakar berkata jumlah penumpang yang dinyatakan semalam dibuat berdasarkan temu bual dengan pengusaha bot dan mangsa yang terselamat.

    

"Setakat ini, kami tidak dapat menyatakan jumlah sebenar mangsa yang masih hilang...melainkan kami ada senarai penumpang," katanya ketika dihubungi hari ini.

    

Bot ekspres 'Kawan Mas' sedang dalam perjalanan dari Bakun di pekan Belaga menuju Kapit apabila dikatakan terlanggar batu dan karam dekat Tanjong Giam Bungan antara 8.30 pagi dan 9 pagi semalam.

    

Sementara itu, Bakar berkata pasukan mencari dan menyelamat menetapkan kawasan lingkungan 3km di sekitar lokasi bot itu karam untuk menjalankan operasi mencari.

    

Sebelum itu, Bakar berkata, operasi mencari mangsa yang masih hilang dalam kejadian itu diteruskan pagi ini.

Katanya, operasi yang bermula pukul 7 pagi tadi itu dilakukan oleh polis dengan kerjasama pasukan bomba dan penyelamat.

"Kita tumpukan di kawasan kemalangan iaitu di Jeram Tukok/Jeram Bungan. Pagi ini seramai 19 anggota polis dari Belaga, Kapit, Bintulu termasuk polis marin dan lima anggota bomba terlibat dalam operasi," katanya.

Bakar berkata anggota tambahan dari Unit Latihan Polis Kuching dijangka tiba tengah hari ini bagi membantu operasi itu.

Dalam kejadian pukul 8.30 pagi semalam, bot ekspres yang dipercayai membawa penumpang berlebihan karam di Jeram Tukok/Jeram Bungan ketika dalam perjalanan dari arah Bakun ke Terminal Bot Ekspres Sibu.

Ketika operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada pukul 9.30 malam tadi, polis mengesahkan 181 penumpang terselamat dan 23 masih hilang.

Menurut polis, bot tersebut hanya berkapasiti 67 penumpang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS