Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution akan bertemu Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bagi mengetahui status pelantikan dan perinciannya sebagai pegawai perhubungan politik di negeri itu.
Saifuddin berkata beliau hanya akan mengetahui perkara itu serta bidang tugas berkenaan peranannya selepas bertemu Khalid, minggu depan.
"Saya akan berjumpa MB minggu depan untuk dimaklumkan berkenaan status pelantikan, bidang tugas, dan tanggungjawab.
"Sehingga kini belum ada apa-apa makluman (terperinci berkenaan bidang tugas)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Nasional PKR ke-9 hujung minggu lalu mencadangkan agar Saifuddin diamanahkan dengan peranan sebagai pegawai perhubungan politik di negeri itu.
Peranan tersebut antara lainnya meliputi usaha merapatkan jurang antara PKR dan parti politik lain di Selangor dan memastikan urusan politik dipisahkan daripada pentadbiran negeri dan urusan perniagaan syarikat, kata Anwar.
Cadangan berhubung pelantikan tersebut dikemukakan Anwar ketika pemimpin tertinggi parti tersebut di Selangor sedang berhempas-pulas dalam rundingan untuk mengisi 10 jawatan exco dari kalangan wakil rakyat PAS, PKR dan DAP.
Susulan itu, PAS Selangor melalui seorang timbalan pesuruhjayanya Iskandar Samad, tampil dengan tuntutuan agar satu jawatan sama diberikan kepada wakil parti tersebut "untuk memantau urusan-urusan harian di Selangor".
"Pimpinan PAS terutamanya pimpinan tertinggi parti mesti memberi tumpuan yang sama kepada Selangor sepertimana tumpuan yang mereka berikan kepada Kelantan, Terengganu dan Kedah," kata bekas exco Selangor itu lagi.
Saifuddin pula ketika ditanya mengenai tuntutan PAS Selangor itu berkata beliau hanya akan mengulas perkara itu selepas bertemu Khalid.
"Maaf, tiada apa saya hendak komen (kerana) belum tahu hujung pangkal lagi. Tunggu sehingga saya jumpa MB," katanya.
Pada pilihan raya lalu, PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi sementara PKR pula menguasai 14 kerusi DUN.
Barisan exco Selangor akan mengangkat sumpah jawatan masing-masing esok.