Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dua orang peserta program nyalaan lilin menyokong aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim, membuat laporan hari ini mendakwa mereka dipukul oleh anggota polis pada malam tersebut.

Chua Siaw Ping, 39, dan Teh Chia Lung 31, membuat laporan itu di balai polis Dang Wangi tengahari tadi.

Kedua-duanya ditemani peguam G Manivannan yang juga ahli Parlimen PKR Kapar.

Chua dan Teh adalah sebahagian daripada 18 orang yang ditahan pada hari Rabu lalu. Selain Chua dan Teh, seorang lagi peserta turut mendakwa dipukul polis.

Menurut Manivannan, peserta tersebut dijangka membuat laporan esok.  

Ketika dihubungi Malaysiakini, Manivannan menggesa pihak polis menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut dalam tempoh tujuh hari.

Katanya, seorang peserta terbabit dapat mengenali dengan jelas wajah anggota polis yang didakwa memukulnya dan bersedia untuk membuat pengecaman.

"Kita mahu siasatan dijalankan oleh pegawai khas dari Bukit Aman dan dilakukan dalam masa tujuh hari kerana salah seorang mangsa mengecam anggota polis yang memukulnya," katanya.

Beliau turut menggesa Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Khalid Abu Bakar menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat salah laku polis yang sekian lama tertangguh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS