Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan perlu membuka pintu kepada semua pihak untuk terlibat dengan agenda kerukunan nasional selepas pilihan raya dan tidak membalas dendam kepada mana-mana pihak, kata Khairy Jamaluddin.

"kerukunan nasional, pastikan pintu terbuka untuk semua pihak. Ini secara umum sahaja, bukan untuk Kementerian Belia dan Sukan sahaja.

"Jangan kita bertindak dengan membalas dendam kepada mana-mana pihak," kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Katanya, setelah dipilih sebagai kerajaan, BN perlu menggalas tanggungjawab tanpa prejudis, bersikap adil dan saksama.

Sementara itu, ahli parlimen Rembau itu berkata, pembangkang boleh menerima keputusan pilihan raya dan negara perlu bergerak maju ke hadapan.

Katanya, sekiranya tidak berpuas hati dengan kepincangan terhadap keputusan pilihan raya, perkara itu hendaklah dibawa ke mahkamah.

"Jangan heret rakyat melalui satu fasa memecahbelahkan (mereka) untuk tujuan politik lagi," kata Khairy yang juga ketua Pemuda Umno.

Beliau juga berkata, kementeriannya akan mendapatkan idea pelbagai pihak, termasuk daripada sayap Pemuda pembangkang dalam agenda untuk menyahut seruan kerukunan nasional perdana menteri.

"Sudah tiba masanya rakyat maju ke depan dalam usaha menuju pembangunan dan transformasi. Bagi Kementerian belia dan sukan, akan akan bertemu dengan Pemuda parti politik termasuk pembangkang untuk mengadakan dialog.

"Saya tidak ada masalah dengan perkara itu. Saya akan menulis surat kepada semua Pemuda parti politik, Pemuda PAS, datang bersembang dengan saya, apa idea kamu, dan apa jangkaan kamu. Ini cara saya untuk mempromosi kerukunan nasional.

"Ini adalah kementerian belia dan sukan Malaysia, bukan kementerian belia dan sukan Barisan Nasional," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan kerukunan nasional oleh Datuk Seri Najib Razak susulan fenomena yang digelarkannya sebagai "tsunami Cina" semasa pilihan raya umum.

Mengenai pembangunan sukan, Khairy berkata, beliau akan mendapatkan taklimat terperinci dengan agensi bawah kementerian dan bertemu dengan kumpulan berkepentingan bagi mendapatkan pandangan penambahbaikan dalam tempoh dua minggu ini.

"Mungkin dalam satu dua bulan kita akan keluarkan hala tuju yang ada penambahbaikan, sebagai menteri dan timbalan menteri yang baru.

"Rancangan jangka masa panjang yang telah dirancanggkan menteri sebelum ini, Datuk Shabery (Cheek) masih lagi baik. Jadi, rancangan jangka masa panjang tidak ada isu.

"Mungkin dari segi pendekatan dan stail yang kita buat ada sedikit perubahan, berdasarkan keputusan pilihan raya umum ke-13 dan harapan rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS