Tempat letak kereta berhampiran pejabat PKR di Jalan Beserah, Kuantan dibanjiri ribuan peserta himpunan Suara Rakyat Suara Keramat edisi Pahang malam ini.
Himpunan itu yang keempat selepas pilihan raya umum lalu 5 Mei lalu bertujuan mempertikaikan keputusannya yang didakwa sarat penipuan.
Saksi mata himpunan, Rafizan Idrus berkata peserta himpunan malam ini rata-rata terdiri daripada golongan muda pelbagai kaum.
"Saya lihat kebanyakannya malam ini orang muda yang hadir ke perhimpunan ini," kata Rafizan.
Pengerusi majlis itu Datuk Johari Abdul menganggarkan kehadiran yang rata-rata berpakaian hitam sekitar 30,000 orang.
Jumlah itu kata Rafizan, tidak termasuk mereka yang berada di luar kawasan padang tempat himpunan berlangsung.
Himpunan malam ini asalnya dijadual berlangsung di Padang Mahkota Aman, Kuantan.
Bagaimanapun, lokasi perhimpunan tersebut dipindahkan selepas rundingan dengan wakil polis daerah Kuantan yang mendakwa ia tidak mematuhi peruntukan seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Antara yang bercakap pada malam ini bekas calon PKR sungai Acheh, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegudard, Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Shaik Ismail, Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Esok, satu lagi himpunan ini yang turut dikenali sebagai "Blackout 505" ini akan berlangsung di Johor Bahru.