Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Umno Terengganu memperkukuh kesatuan dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat selepas Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan penguasaan di negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas.
Nasihat itu antara yang ditekan Najib, yang juga Presiden Umno, dalam pertemuan hampir dua jam dengan kesemua 17 wakil rakyat Umno Terengganu di ibu pejabat parti berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.
"Perdana Menteri minta kita bersatu dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat agar di masa akan datang, kita dapat merebut kembali kerusi yang kita kalah," kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said kepada pemberita selepas pertemuan itu.
BN Terengganu mengekalkan penguasaan di negeri itu dengan majoriti mudah apabila memenangi 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ditanya sama ada isu pelantikan menteri besar turut disentuh pada pertemuan itu, Ahmad berkata perkara itu tidak dibincang.
Bagaimanapun, Ahmad yang dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua berkata majlis angkat sumpah jawatan itu akan diadakan bersama pelantikan Exco dalam masa dua atau tiga hari lagi.
Difahamkan, pada pertemuan itu, semua wakil rakyat turut menyatakan ikrar taat setia kepada pucuk pimpinan di depan Najib.
- Bernama