Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Projek 16 September" tidak akan berlaku sekali lagi, sebaliknya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa yang menjadi keutamaannya kini ialah memenuhi permintaan rakyat untuk memastikan pilihan raya di negara ini bersih dan adil.

Menurut Anwar, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak telah menang dalam pilihan raya kali ini dengan penipuan apabila terdapat beberapa dakwaan mengenai "pengundi hantu" serta pembelian undi semasa hari mengundi.

"Tidak (akan berlaku 16 September). Tetapi untuk masa sekarang kamu (kerajaan) perlu memenuhi kehendak rakyat. Kamu (kerajaan) telah curi pilihan raya ini daripada rakyat.

"Dan kita mahu, kerajaan sekarang menerima kenyataan bahawa kesahan penubuhan kerajaan mereka akan dipersoalkan. Mereka harus mempertimbangkan untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Pilihan Raya yang bersih dan adil.

"Ini bukan mengenai politik tetapi rakyat amat mahukan perubahan. Mereka berharap dan berdoa tentang suatu jangkaan yang sah daripada rakyat," katanya dalam temubual bersama Malaysiakini .

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah tentang kemungkinan berlakunya projek 16 September seperti pada tahun 2008 sekali lagi.

Pada 2008, Anwar membuat pengumuman akan berlaku perubahan kuasa pada 16 September apabila seramai 30 ahli parlimen BN didakwa akan menyertai Pakatan.

'Keputusan amat menyedihkan saya'

Sementara itu, ketika mengulas mengenai kenyataan Najib tentang "perdamaian nasional" serta "tsunami Cina", Anwar berkata, ia seolah-olah menunjukkan tanda "bermurah hati" kerajaan kepada rakyat.

Sebaliknya, Anwar berkata, Najib menyalahkan kaum Cina apabila mengatakan berlakunya "Tsunami Cina" selepas mengetahui keputusan pilihan raya umum semalam.

"Itu mungkin nak tunjukkan tanda-tanda bermurah hati tetapi itu bercanggah dengan diri dia apabila mempersalahkan (kekurangan undi BN) akibat tsunami Cina.

"Dia sepatutnya memahami apa masyarakat Cina mahukan dan kenapa kamu tidak boleh menghadapi isu ini.

"Saya kesal kerana dia (Najib) membawa isu perkauman. Perkara ini tidak benar dan 'nakal'. Saya tidak akan mendukung aliran perkauman dan budaya (perkauman) ini. Sifat tidak mewakili budaya Melayu dan Islam," katanya.

Selain itu dalam temubual itu juga, Anwar turut melahirkan kekecewaan dan sedihnya tentang keputusan pilihan raya umum semalam.

Beliau bagaimanapun tidak akan berputus asa, sebaliknya akan terus berusaha bagi mengembalikan kepercayaan rakyat bersama Pakatan.

"Ia amat menyedihkan saya. Tidak dapat digambarkan kekecewaan ini.

"Ya (Pakatan akan kekal bersama). Saya lihat Terengganu juga berpotensi. Kita akan pergi kepada proses dan akan mendesak untuk mempunyai satu sistem pilihan raya yang benar dan bebas," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS