Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menuntut agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan mengenai dakwaan PKR bahawa pengundi yang diterbangkan dari Malaysia Timur untuk mengundi di Semenanjung merupakan pengundi hantu.
Pengerusinya Datuk S Ambiga berkata, sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menguruskan pilihan raya, SPR tidak sepatutnya mengambil sikap berdiam diri terhadap dakwaan yang melibatkan kemungkinan adanya pengundi hantu melibatkan warga asing.
"SPR tak sepatutnya berdiam diri. Saya khuatir dengan sikap diam diri SPR ini. Mereka tidak boleh anggap ini adalah dakwaan yang tak berasas.
"Kami perlu tahu warga asing ini semua di bawa ke mana. SPR tak boleh terus berdiam diri," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.
BN dalam kenyataan pada 2 Mei lalu menjelaskan bahawa bahawa kumpulan yang dibawa dengan penerbangan khas, seperti yang dipersoalkan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan pengundi berdaftar Malaysia.
Tengku Adnan dalam satu laporan Bernama juga menjelaskan, penerbangan berkenaan dibiayai oleh "rakan-rakan BN".
"Tidak ada apapun yang benar berhubung dakwaan pembangkang, tidak lain dan tidak bukan penumpang itu hanya pengundi berdaftar Malaysia," katanya seperti dipetik dalam laporan agensi berita dikuasai kerajaan persekutuan itu.
Tambahnya, tindakan PKR membangkitkan perkara itu adalah usaha untuk "memburuk-burukkan sistem pilihan raya".
[Baca berita penuh]