Hanya beberapa jam selepas dakwat kekal digunakan pertama kali di Malaysia, sudah pun ada aduan bahawa ia sebenarnya boleh ditanggalkan.
Perkara itu sama sekali bertentangan dengan jaminan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa dakwat itu akan kekal sekurang-kurangnya tujuh hari selepas dicalit dengan berus.
Seorang askar yang terlibat dalam undi awal pagi tadi berkata, beliau sudah membuang banyak dakwat hanya menggunakan air - hanya enam jam kemudiannya.
"Dah tinggal 30 peratus saja, itu pun tak basuh pakai sabun Fab. Standard dia macam dakwat stamp pad . Tak kuat mana.
"Atas kuku boleh hilang seratus peratus. Cuma celah-celah kuku susah sikit. Atas kulit rasanya boleh hilang kalau dibasuh gunakan sabun yang agak kuat," kata askar itu melalui SMS.
Beliau inginkan indentitinya dirahsiakan.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusog ketika dihubungi meminta perkara itu diserahkan kepada polis untuk menyiasatnya kerana laporan polis sudah dibuat.
"Menurut percubaan oleh SPR, ia tidak dapat ditanggalkan (menggunakan sabun, pencair atau sanitiser tangan) dan masih boleh dikesan," jelasnya.