Datuk Seri Najib Razak menyeru pengundi Pokok Sena, Kedah memilih calon "galah panjangnya" Datuk Shahlan Ismail bagi menumpaskan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar di Parlimen itu.
Perdana menteri kerajaan sementara juga berkata, Shahlan, setiausaha politiknya sendiri, jika terpilih, mudah untuk "menggodamnya" bagi mendapatkan peruntukan kawasan.
"(Dia) galah panjang, nanti dia gode (godam) saya. Minta peruntukkan. Tak apalah, pakat-pakat bagi menang, Insya-Allah kita bawa perubahan kepada Kedah," katanya disambut dengan gelak ketawa hadirin.
Najib berkata demikian sebagai respons kepada ucapan Shahlan di Sekolah Kebangsaan Taman Awana di Pokok Sena sebelum itu yang menyifatkan dirinya "galah panjang" dengan Najib.
Malah, kata Najib, sekiranya ada satu treler surat d;aripada rakyat pun, seperti diumpamakan Shahlan sebelum itu, BN akan tetap melayannya.
"Tadi Datuk Shahlan kata ada satu treler surat. Tak kira satu treler, lori atau traktor, tak jadi masalah, kita boleh membela rakyat," kata Najib.
Pada pilihan raya umum lalu, Mahfuz menewaskan calon BN Datuk Abdul Rahman Ibrahim dengan majoriti 5,731 undi.
'Saya sudah ada idea untuk Kedah'
Mahfuz mendapat 29,687 undi, manakala Abdul Rahman yang merupakan penyandang sebelum itu memperoleh 23,956 undi.
Najib juga hari ini menjelaskan kewajaran tindakannya memilih orang kanan sendiri untuk bertanding di Pokok Sena.
"Pastikan sokong calon-calon BN. Pilih calon-calon yang baik, (seperti) Datuk Shahlan.
"Saya tidak boleh bercakap pasal adik dia. Adik dia tersasar. Abangnya baik," katanya merujuk kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, adik kepada Shahlan,
Saifuddin kali ini bertanding di parlimen Kulim-Bandar Baharu, menggantikan penyandang Datuk Zulkifli Noordin yang berpaling tadah menjadi Bebas serta bertanding di Shah Alam atas tiket BN.
Sementara itu, Najib juga berkata, beliau sudah mempunyai idea untuk membawa perubahan supaya negeri jelapang padi itu menjadi lebih baik.
"Tapi kena bagi menang dulu," kata pengerusi BN itu lagi.