Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak bersetuju dengan tinjauan oleh satu jabatan dalam Universiti Malaya yang menyebut beliau berada empat mata di belakang ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya tidak bersetuju dengan tinjauan itu, kami ada tinjauan sendiri. Tinjauan saya menunjukkan kami mendahului,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyertai satu jamuan bersama 1,000 penduduk di Rawang, Selangor.
Beliau merujuk kepada tinjauan pusat demokrasi dan pilihan raya Universiti Malaya (Umcedel) yang menyebut 43 peratus responden percaya Anwar layak menjadi perdana menteri, berbanding 39 peratus lagi yang berpendapat Najib lebih layak menjadi PM.
Beberapa orang tokoh akademik juga mempersoalkan keputusan tinjauan berkenaan dengan dakwaan bahawa saiz sampel 1,407 adalah terlalu kecil dan juga kemungkinan keputusan tinjauan itu dimanipulasi Pakatan Rakyat.
Najib pula berkata beliau yakin BN akan menang dengan majoriti dua pertiga di parlimen sekiranya parti itu tidak mengalami sabotaj dalaman.