Isu pencerobohan di Lahad Datu menjadi tema utama BN dalam usahanya meraih undi, terutamanya semasa lawatan dua hari Pengerusi BN Datuk Seri Najib Abdul Razak ke Sabah.
Hampir dalam semua ucapan di Kuala Penyu, Bongawan, Kota Kinabalu dan Keningau semalam, Najib dan Ketua BN Sabah Datuk Sri Musa Aman menegaskan tindakan kerajaan persekutuan sebagai sokongan kuat terhadap Negeri di Bawah Bayu itu.
"Majoriti anggota keselamatan yang gugur (di medan perang) dari mana mereka datang? Dari Pasir Mas (Kelantan), Besut (Terengganu) dan Klang (Selangor)," kata Najib di hadapan kira-kira 5,000 orang yang hadir.
"Mereka membayar harga yang mahal untuk memastikan Sabah tidak dicemari... jadi satu undi untuk BN adalah satu undi untuk kedaulatan negara tercinta ini."
Beliau juga berkata, BN tidak seperti Pakatan yang "mengadakan perjumpaan dengan pihak yang tidak suka Sabah kekal bersama Malaysia".
Ditanya pemberita sama ada insiden pencerobohan itu akan mengurangkan undi BN, beliau berkata ia sebaliknya mengukuhkan gabungan itu ekoran kuatnya komitmen bersama untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan Sabah,
"Semua yang berlaku dapat mengukuhkan lagi BN, tetapi bukan cara ini yang kita mahukan... Apa pun yang akan berlaku kami tetap akan mempertahankan keselamatan dan kedaulatan Sabah."
[Baca berita penuh]