Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jentera Wanita Umno Kuala Kangsar kini telahpun dapat menerima tindakan Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon Bebas di kawasan parlimen tersebut, namun tetap menganggap naib ketua Wanita Umno itu mementingkan diri sendiri.

Anggota Wanita Umno yang ditemui Malaysiakini , dengan berlinangan air mata juga menyatakan bahawa mereka tidak menjangkakan Kamilia akan bertindak sedemikian.

NONE Anggota cawangan Talang Hilir, Nor Suraidah Murad, 43, tindakan Kamilia itu mengecewakan ramai pihak lebih-lebih lagi Wanita diperingkat akar umbi.

"Saya rasa keputusan dia pentingkan diri dan tak mementingkan parti. Saya memang kecewa sangat. Tetapi sekarang, kami semua dah boleh terima dan menjalankan aktiviti macam biasa.

"Kita juga akan pergi rumah ke rumah untuk terangkan situasi sebenar kepada orang ramai mengenai perkara ini," katanya dengan nada sedih.

Seorang lagi anggota berkenaan dari cawangan Bukit Chandan, Wan Bidah Wan Yusoff, 50, berkata mereka turut "berkabung" selama tiga hari sejak hari penamaan calon.

NONE Menurut Wan Bidah, ramai Wanita yang menangis dan bersedih dengan keputusan yang diambil Kamilia.

"Ramai menangis. Masa dalam perjumpaan jentera pun, ramai menangis. Tapi sekarang dah OK. Tiga hari sahaja menangis. Lepas itu semua dah kembali macam biasa.

"Memang terkejut sangat dengan tindakan dia (Kamilia). Tapi kita pun dah buat banyak perjumpaan dan lepas Datuk Shahrizat (Abd Jalil) datang, kita sekarang dah OK dan akan buat kerja," katanya.

Anggota jentera berkenaan ditemui selepas pertemuan tertutup dengan Shahrizat di Kuala Kangsar semalam.

Kenyataan Wan Bidah itu mengesahkan tinjauan Malaysiakini di sekitar Kuala Kangsar sejak beberapa hari lalu yang mendapati tidak banyak aktiviti berlangsung dan bilik gerakan BN di kawasan itu juga kelihatan suram.

NONE Jentera Wanita itu juga bersimpati dengan Kamilia yang menjalankan kempen sebagai calon Bebas dengan hanya dibantu oleh anggota keluarga, kata setiausaha Wanita Umno bahagian, Aishah Halid.

"Ada kami nampak Datuk berkempen. Tapi dia dengan anak dia je. Anak lelaki dan anak perempuan. Kami ada juga nampak dia bagi risalah dekat orang. Ada juga yang nampak dia bagi risalah dekat bangsal panas PAS.

"Datuk pernah cakap dekat saya dia tak akan kacau orang Umno. Jadi sasaran Datuk ialah pengundi atas pagar, golongan muda. Sebab Datuk ada semua data-data pengundi kat sini.

"Kami tengok dia kami kesian. Dia jalan sorang-sorang dengan anak-anak dia," katanya kepada Malaysiakini .

Kamilia ketika dihubungi petugas media sehari selepas penamaan calon lalu meminta agar wartawan menyemak tulisannya di Facebook untuk mendapatkan kenyataan terkini.

Tulisannya yang terakhir di laman tersebut bertarikh 21 April.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS