Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat kerajaan Kedah yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat gagal membentangkan janji yang dilaksanakan serta pembangunan di negeri itu.

Muhyiddin berkata beliau bertanyakan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah sama ada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengeluarkan "kad laporan" mereka sepanjang lima tahun memerintah.

NONE Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan "sedikit" sahaja berhubung pencapaian Pakatan sepanjang gabungan pembangkang itu mentadbir kerajaan negeri.

"Sebuah kerajaan sepatutnya membentangkan apa yang dia janjikan pada masa lalu sewaktu mengambil kerajaan Kedah, inilah yang mereka nak laksanakan.

"Nak perjuang nasib rakyat, bela orang kampung, membantu petani, menyediakan kemudahan pendidikan, agama dan kemudahan sosial, membawa pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan.

"Sepatutnya inilah janji, mereka telah buat pada ketika itu. Tetapi malang report kad yang mereka bentangkan di khalayak dan masyarakat tidak begitu membanggakan kita.

"Saya menteri, saya ada cikgu. Tiap-tiap kali periksa, saya beri markah. Saya nampak kita beri markah E tolak kepada kerajaan Kedah pada hari ini. Apa makna E tolak?... Gagallah."

Kata-katanya itu disahut dengan laungan "Betul" oleh kira-kira 2,000 orang yang hadir.

Muhyiddin seterusnya berkata, soal pemilihan parti untuk membentuk dan mentadbiran kerajaan merupakan satu perkara "serius".

Bercakap dalam majlis perasmian tapak cadangan pusat sukan Jerlun, Muhyiddin cuba meyakinkan rakyat supaya memilih parti yang mampu melaksanakan tanggungjawab dan hasrat rakyat jelata untuk kemajuan pada masa akan datang.

"Sebab itu dalam tempoh berkempen, maka penting bagi kita untuk membuat penilaian sama ada PAS mampu melaksanakan tugas menunaikan janjinya ataupun sebaliknya.

"Ini satu perkara penting, kerana dalam soal demokrasi, kita nak pilih kerajaan yang kita percaya melaksanakan amanah kita, maju diri, kampung dan negeri kita," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah, calon DUN Ayer Hitam Datuk Mukhriz Mahathir dan dua lagi calon dalam parlimen itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS