Awas, sekiranya anda memasuki DUN Anak Bukit, Kuala Kedah - anda mungkin diperhatikan. Jika anda tersilap langkah, anda mungkin diserang hendap!
Begitulah 'situasinya' jika pengunjung atau pengundi yang melalui kawasan DUN Anak Bukit - bermula di sepanjang simpang empat di Mergong hingga sempadan Kubang Pasu.
Bermula dari situ, ia merupakan kawasan 'zon perang', di mana orang ramai bakal menyaksikan hasil kreatif jentera parti Pakatan Rakyat dan BN membuat replika kenderaan perang sempena pilihan raya umum 5 Mei ini.
Tinjauan Malay siakini, di Kampung Mergong - tidak jauh dari simpang empat, sebuah pondok panas PAS mempamerkan kekuatan 'senjata perang' mereka.
Mereka membuat replika kereta kebal, pesawat pejuang, motosikal penggempur yang diperbuat daripada buluh dan barang terpakai.
Kesemua jentera penggempur itu dibaluti bendera gabungan Pakatan Rakyat - PAS, PKR dan DAP.
Mereka meletakkannya di kawasan yang berhampiran pondok panas, dan kelihatan beberapa orang anak sedang menyiapkan jentera perang yang lain dengan menggunakan buluh.
Kelengkapan perang itu menghalakan muncung kereta kebal ke arah seberang jalan - yang merupakan kawasan BN, dan jentera 'menunggu semboyan' dibunyikan untuk melancarkan serangan pada bila-bila masa.
"Abang, wartawan mana?... Oh, Malaysiakini . Nak siarkan gambar (jentera perang) ni bila?... Pilih gambar yang elok-elok sikit," usik seorang petugas.
Bertentangan dengan pondok panas itu - di kawasan BN - penyokong parti itu juga tidak mahu mengalah bahkan menyiapkan jentera perang mereka.
Mereka mempamerkan jet pejuang, meriam dan helikopter penggempur dan diletakkan berdekatan kubu kuat PAS di seberang jalan.
Kesemua peralatan perang sudah bersiap sedia, dan dibuat dengan peralatan terpakai seperti buluh dan tayar serta dibaluti dengan bendera dacing dan Umno. Berada di situ, tidak ubah seperti 'zon perang'.
Di Kg Padang Lalang pula, pengunjung jangan terkejut, jika seorang 'tentera' BN sedang menghalakan muncung senapangnya ke arah anda.
Di pusat daerah mengundi, BN meletakkan replika patung tentera bersenjata termasuk seorang anggota tentera yang lengkap bersenjata mesin gun dalam kereta kebal serta motosikal penggempur di depan pusat tersebut.
Muncung senjata mereka juga menghala ke kawasan bendang bertentangan dengan pusat tersebut, seolah-oleh bersiap sedia kemungkinan 'serangan' PAS dari arah kawasan bendang yang terbentang luas di depannya.
Kemudian, pengunjung juga akan sampai ke kawasan perang di Simpang Empat Kuar di mana pondok panas PAS menyiapkan satu replika wau bulan perang besar yang dibaluti dengan bendera PAS.
Tidak jauh dari situ, BN menghiasi pusat mereka - umpama markaz tentera - dengan bendera BN dan Umno, turut menarik minat pengunjung dan pengguna jika mereka ingin ke Jerlun atau Kangar.
Sepanjang jalan itu juga, perang 'panji' bendera BN dan Pakatan Rakyat sudah dipacakkan dan poster Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipasang, khususnya di pokok-pokok yang menghiasi kiri dan kanan jalan raya bagi menunjukkan mood pilihan raya semakin panas.
Timbalan yang dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan ADUN Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah akan mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya umum 5 Mei ini.
Beliau akan menentang calon BN Datuk Hashim Jahaya.