PKR dan sekutu dekatnya Parti Sosialis Malaysia (PSM) masih gagal mencapai kata sepakat berhubung penggunaan lambang dalam pilihan raya umum 5 Mei nanti.
Kegagalan ini menyebabkan dua parti itu bakal bertembung tiga penjuru dengan BN di tiga kerusi – parlimen Sungai Siput, Perak dan DUN Kota Damansara dan Semenyih, Selangor.
Calon-calon PSM di kerusi tersebut bertemu tokoh PKR Anwar Ibrahim petang semalam selama sejam di Petaling Jaya tetapi kedua-dua pihak masih dengan pendirian masing-masing.
Dalam rundingan itu, penyandang Sungai Siput Dr D Jeyakumar, setiausaha agung PSM S Arutchelvan (calon Semenyih) dan pengerusinya Mohd Nasir Hashim (penyandang Kota Damansara) bertegas mahu menggunakan logo genggaman tangan kiri parti itu.
Ketiga-tiganya bertanding atas tiket PKR di kerusi tersebut pada 2008 sebelum kerajaan meluluskan pendaftaran PSM selepas pilihan raya umum lalu.
PKR dijadual mengumumkan calon-calonnya di Selangor malam ini di Hulu Kelang.
Penyelesaian 'agak sukar'
Setiausaha agung PSM S Arutchelvan juga mengakui "agar sukar" untuk menemui penyelesaian ketika rundingan dengan Anwar semalam namun tetap berharap agar ia dapat diselesaikan.
"Kami mahu satu kompromi di mana berlaku keadaan menang-menang dan PSM dapat bertanding satu lawan satu," katanya.
Arutchelvan juga berkata, PSM menawarkan untuk menggunakan lambang genggaman tangan untuk kerusi yang disandangnya, dan menggunakan logo PKR untuk kerusi yang tidak berjaya dimenangi pada 2008.
"Saya harap mereka tidak mengumumkan apa-apa (berhubung kerusi yang akan ditandingi PSM) pada malam ini untuk menjadikan keadaan lebih rumit, atau rundingan akan tamat.
"PSM berjuang menentang BN sejak 10 tahun lalu untuk membolehkan parti ini didaftarkan. Anggota kami tidak akan dapat menerima sekiranya kami langsung tidak menggunakan logo sendiri di mana-mana kerusi ini dalam pilihan raya kali ini," katanya.
Arutchelvan berkata, keadaan itu sama seperti tindakan membuli atau memalukan PSM.
Tarikh akhir untuk PSM
"Kami sudahpun menawarkan untuk mengguna logo PKR di beberapa kerusi dan turut menawarkan untuk menyertai Pakatan," katanya lagi yang berharap Pakatan akan berkompromi.
Sementara itu, seorang anggota exco dalam kerajaan sementara Pakatan Selangor, Xavier Jayakumar pula berkata PKR bertegas bahawa PSM mesti menggunakan lambang PKR.
Tambahnya, PKR telah memberitahu PSM untuk memberi maklum balas kepada mereka hari ini kerana calon berkenaan akan diumumkan pada malam.
"Jika kita tidak terima notis hari ini, kita akan terus mengumumkan calon pada malam ini," katanya.
Arutchelvan bagaimanapun menegaskan bahawa Anwar tidak memberi tarikh akhir untuk kepada PSM.
"Itu bukan apa yang Anwar kata, dia minta kami beri maklum balas tapi tidak menyatakan ia mesti dibuat hari ini," katanya.
Arutchelcan berkata PSM hanya mensasarkan empat kerusi sama yang ditandingi pada pilihan raya lalu, namun memberi amaran bahawa pertembungan tiga penjuru mungkin berlaku di negeri lain sekiranya empat kerusi itu terjejas.
Menurut sumber PKR pula, Anwar dalam pertemuan itu masih menegaskan sikapnya beberapa bulan lalu bahawa logo PSM tidak begitu meluas dikenali dan juga boleh mengelirukan pengundi.
Populariti logo
Bagaimanapun PSM juga bertegas bahawa logo parti berhaluan kiri itu sudah digunakan secara meluas dalam program-program politik pembangkang dan NGO.
"Kami percaya logo paling popular dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat (di Stadium Merdeka, awal tahun ini)," kata Arutchelvan dalam satu kenyataan terdahulu.
"Malah, dalam satu pertemuan Pakatan Rakyat, pemimpin-pemimpin DAP dan PAS berkata mereka tidak mempunyai sebarang isu dengan simbol (PSM) tersebut."
Tambahnya, seperti kenyataan PSM pada Februari lalu, simbol genggaman tangan digunakan oleh gerakan anti-Lynas, kumpulan mahasiswa dan pertubuhan Asalkan Bukan Umno (ABU).
Calon-calon PKR Kota Damansara dan Semenyih masing-masing diura-urakan peguam Mohd Razlan Jalaluddin dan pegawai bank Hamidi A Hassan.
Sementara itu di Sungai Siput, Jeyakumar akan mempertahankan parlimen itu dengan simbol PSM.
Sumber PKR juga memaklumkan, parti itu boleh menerima keputusan Jeyakumar, namun ada bantahan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.
Selain di tiga kerusi bermasalah tersebut, PSM juga kini bergeser dengan DAP apabila ia melahirkan hasrat untuk mengambil Jelapang, yang sebelumnya ditandingi oleh calon DAP Hee Yit Foong.
Bekas timbalan speaker DUN Perak meninggalkan DAP.
PSM masih berbincang dengan DAP untuk menyelesaikan perebutan di Jelapang.