Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha politik menteri besar Selangor, Faekah Hussin berkata beliau yakin bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim setakat ini tidak akan berpindah ke kerusi lain dan akan kekal bertanding di DUN Ijok.

 

Faekah berkata pihaknya belum menerima apa-apa arahan daripada parti untuk membolehkan Khalid berpindah ke kerusi lain di negeri itu termasuk ke DUN Pelabuhan Klang.

 

"Sekiranya parti kata beliau kekal (di Ijok), maka beliau akan kekal. Kecuali jika ada perkara lain yang mendesak.

 

"Oleh itu, pekerja dan pegawai bawah Tan Sri tidak melihat ada keperluan mendesak yang membolehkan Tan Sri tidak bertanding di Ijok.

"Tidak ada sebarang bayangan untuk beliau tidak bertanding di Ijok," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Tambahnya, para petugas Khalid juga telah menjalankan gerak kerja untuk membolehkan menteri besar itu mempertahankan kerusi yang dirampasnya dalam pilihan raya 2008 itu.

Ditanya lanjut sama ada Khalid akan berpindah ke DUN Pelabuhan Klang - seperti yang diura-urakan - Faekah menegaskan bahawa perkara itu tidak pernah disebut oleh menteri besar.

 

"Tan Sri tak pernah sebut. Tak tahulah jika pada saat-saat akhir parti merasakan beliau perlu bertanding di kerusi lain. Beliau akan pergi.

 

"Tan Sri seorang yang displin. Beliau pernah berkata keputusan akhir adalah keputusan parti. Jadi, memang (setakat ini) di Ijoklah. Dia akan pertahankan Ijok," katanya.

 

Desas-desus bahawa Khalid akan berpindah ke DUN lain itu timbul memandangkan beliau didapati tidak dapat meluangkan banyak masa di Ijok ekoran kekangan tugas sebagai menteri besar.

Malah, dalam cabang PKR Kuala Selangor sendiri diketahui berlaku pertikaian dalaman sejak beberapa tahun ini. Kumpulan penyokong itu juga dilaporkan memberi sambutan dingin kepadanya sewaktu beliau turun padang.

Sumber-sumber parti mendakwa Khalid turut diejek oleh hadirin dalam satu program baru-baru ini, menyebabkan pemimpin atasan mempersoalkan sokongan terhadapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS