Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM jamin peralihan kuasa akan aman
Diterbitkan:  Apr 3, 2013 12:02 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

dikemaskini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa sebarang peralihan kuasa selepas pilihan raya umum ke-13, jika ada, akan berlangsung dengan aman.

Bercakap ketika mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini, Najib menegaskan, kerajaan sedia ada sentiasa menjunjung prinsip demokrasi, tekad tranformasi politik yang dilaungkan serta komitmen dalam menghormati suara rakyat.

"Saya ingin jamin, kerajaan sedia ada akan meneruskan tugas sesuai dengan undang-undang sehingga selesai pilihan raya.

"Saya juga ingin menyeru, jika berlaku sebarang peralihan kuasa, ia akan berlangsung secara aman dan terbit. Ini iltizam kita untuk menjunjung prinsip demokrasi," katanya.

Dalam pengumumannya selama 13 minit itu, perdana menteri merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana memberi kepercayaan kepada kerajaan BN untuk menerajui kepimpinan negara sejak lima tahun yang lepas.

   

"Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan rakyat, kami telah dan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya," katanya.

   

Sementara itu, Bernama melaporkan Najib berkata dalam tempoh empat tahun lepas, sepanjang kepimpinan beliau sebagai perdana menteri, rakyat Malaysia dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana fasa perancangan Prakarsa Transformasi Nasional membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran negara.

   

Prakarsa Transformasi Nasional itu melibatkan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program  Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Sosial.

   

Najib berkata kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab dan meletakkan kepentingan rakyat Malaysia di atas segala-galanya.

   

"Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji, kami menepati janji, kami merupakan kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan memeliharanya.

   

"Bukan sikap kami menanam tebu di bibir. Sesungguhnya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan jejak rekod kami sepanjang empat tahun yang lalu," katanya.

   

Perdana menteri berkata, beliau dan rakan-rakan kepimpinan BN akan mula turun dan bertemu rakyat d seluruh pelusuk negara bagi meyakinkan warga Malaysia mengapa BN perlu diberi peluang untuk kembali membentuk kerajaan dengan majoriti kukuh.

"Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi, Insyaallah untuk melipatgandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua," katanya.

   

Dalam pada itu, Najib mengingatkan rakyat Malaysia supaya menunaikan hak mereka sebagai pengundi dan tidak membazirkan peluang yang diberikan untuk memilih kerajaan yang akan mendukung aspirasi rakyat.

   

"Setiap undi anda adalah penting, jangan bazirkan ia, janganlah dipertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia.

   

"Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan, ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri, tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS