FOKUS PRU13 dikemaskini Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan adalah negeri pertama yang berakhir pada tengah malam ini.
Persoalan sama ada BN atau Pakatan Rakyat yang akan mentadbir Negeri Sembilan selepas pilihan raya umum ke-13, masih tidak dapat diramalkan dengan jelas kerana kedua-dua pihak dilihat mempunyai peluang yang sama rata.
Dengan situasi itu, pemerhati politik berpendapat, pertembungan dua musuh tradisi dalam situasi yang dianggap sebagai "ibu segala pilihan raya" itu kini ibarat "buku bertemu ruas".
Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN. Pada tahun 2004, pembangkang hanya menguasai dua daripada 36 kerusi di Negeri Sembilan iaitu Lobak dan Bahau.
Namun, pada pilihan raya umum 2008, pembangkang menguasai tambahan 13 kerusi, sekali gus menafikan majoriti dua pertiga BN.
Kini pecahan kerusi DUN adalah seperti berikut - 21 milik BN dan 15 kerusi milik Pakatan Rakyat yang terbahagi kepada sepuluh kerusi milik DAP, empat dikuasai PKR dan satu dipegang oleh PAS.
Perhatian sekarang tertumpu kepada Pakatan Rakyat; sama ada mereka mampu meneruskan gelombang kebangkitan untuk terus merampas Negeri Sembilan atau kemaraan mereka mampu dikekang oleh BN.
Dengan anggapan Pakatan mengekalkan kerusi-kerusi yang telah dimenangi pada pilihan raya lalu, mereka kini hanya memerlukan empat kerusi sahaja lagi untuk menang majoriti mudah 19 kerusi.
DAP: Sasar majoriti mudah 19 kerusi
Strategi paling mudah untuk berbuat demikian adalah dengan mensasarkan kerusi-kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti tipis dan semakin berkurangan daripada tahun 2004.
Lapan kerusi yang dikuasai BN kini berada dalam situasi yang agak berbahaya iaitu majoriti kemenangan yang menurun secara mendadak dan majoriti kemenangan sekitar 1,000 undi sahaja.
DUN Kuala Klawan contohnya dimenangi BN pada tahun 2008 dengan majoriti hanya 841 undi, penurunan daripada majoriti 1,308 undi pada tahun 2004.
BN juga menang tipis di kerusi Pilah, Labu, Lenggeng dan Johol. Bagi kerusi Jeram Padang dan Linggi, majoriti kemenangan BN pada tahun 2008 berkurangan separuh daripada tahun 2004.
Ahli Parlimen Rasah dan ahli DUN Lobak, Anthony Loke berkata Pakatan Rakyat mensasarkan untuk menawan lima kerusi yang dikuasai BN dengan majoriti sekitar seribu undi sahaja.
"Kita mensasarkan 20 kerusi kerana untuk mendapat majoriti mudah kita memerlukan 19 kerusi," kata Loke yang sudah disahkan akan bertanding di DUN Chennah.
Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti (Umcedel), Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata setakat ini peluang 'masih terbuka' untuk kedua-dua pihak.
Menurutnya, inisiatif seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan mempunyai kesan dalam mempengaruhi corak pengundian.
"Persiapan BN cukup hebat. Pemberian mereka ada kesannya. Malah, Negeri Sembilan juga mempunyai banyak tanah rancangan Felda yang dianggap deposit tetap BN.
"Kalau di sebelah Pakatan pula, pengundi Cina dianggap memihak kepada mereka," kata Mohamad Redzuan.
BN mahu rampas 8 dari Pakatan
Menurutnya lagi, isu-isu setempat juga dijangka tidak begitu berkesan sepertimana isu-isu di peringkat nasional dalam mempengaruhi pengundi di Negeri Sembilan.
Tambahnya, siapa di antara BN atau Pakatan yang mempunyai lebih banyak kelebihan masih tidak dapat ditentukan selagi calon-calon yang bakal bertanding tidak diumumkan.
Ahli parlimen Jelebu, Datuk Seri Rais Yatim baru-baru ini dilaporkan berkata BN mensasarkan sekurang-kurangnya menguasai 21 kerusi DUN dalam pilihan raya akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan sebelum ini juga dilaporkan mensasarkan untuk menawan kembali lapan daripada 15 kerusi yang dikuasai Pakatan.
Kerusi-kerusi tersebut adalah Nilai, Temiang, Sikamat, Ampangan, Senawang, Paroi, Port Dickson, dan Repah.
Empat daripada lapan kerusi itu dimenangi Pakatan Rakyat pada tahun 2008 dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi.
Repah dimenangi DAP dengan majoriti 553 undi, Port Dickson dimenangi PKR dengan majoriti 733 undi dan Sikamat pula dimenangi PKR dengan majoriti 499 undi.
BN akan kembali mempunyai majoriti dua pertiga seandainya tiga kerusi ini kembali ke tangan mereka.