Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib presiden PKR Tian Chua hari ini mengaku tidak bersalah bagi tuduhan mengikut akta hasutan atas satu kenyataan yang mengaitkan Umno dengan krisis di Lahad Datu – yang didakwa dikeluarkannya.

NONE Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin ke atas MP Batu itu.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 atas kenyataan yang didakwa disebutnya pada 11 pagi, 1 Mac lalu.

Tian diwakili N Surendran, Latheefa Koya, William Leong, Eric Paulsen dan dua lagi peguam.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan tuduhan menghasut yang dihadapi Chua itu adalah berhubung empat kenyataan yang didakwa dituturkan MP berkenaan:

  • Serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.
  • Insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan Umno.
  • Menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah. Kejadian pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah
  • Ada konspirasi oleh kerajaan Umno untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dari isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amir Abdul Karim di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat

Chua didakwa melakukan kesalahan itu di No. 62-2-A Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu off Jalan Yew, di sini pada pukul 11 pagi, 1 Mac lepas.

Menurut laporan itu juga, Chua boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara maksimum lima tahun bagi kesalahan seterusnya.

Peguam N Surendran yang mewakili Tian Chua memohon anak guamnya dibebaskan dengan bon sendiri iaitu tanpa wang atau penjamin dengan alasan tertuduh telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sepanjang siasatan kes itu dan tidak mungkin anak guamnya akan melarikan diri dan tidak hadir semasa perbicaraan.

Surendran berkata pertuduhan yang dihadapi tertuduh juga tidak mempunyai merit dan pihak pendakwaan berkemungkinan tidak akan berjaya membuktikan kes prima facie sekiranya tiada merit.

Peguam itu juga berkata Perdana Menteri pada 11 Julai tahun lepas telah mengeluarkan kenyataan bahawa Akta Hasutan 1948 yang dihadapi anak guamnya akan dimansuhkan sepenuhnya.

"Ia bersifat tidak adil kepada tertuduh kerana ada akujanji daripada Perdana Menteri bahawa akta hasutan itu akan dimansuhkan dan kemungkinan pihak pendakwaan untuk berjaya dalam kes ini adalah tipis," katanya.

Yusaini Amir pula berhujah tujuan pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 itu adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan jumlah itu juga munasabah.

Yusaini Amir berkata segala bukti dan keterangan akan dikemukakan kepada mahkamah semasa perbicaraan dan pada peringkat ini adalah terlalu awal untuk mengatakan tiada prima facie dalam kes itu.

Mengenai hujahan peguam bahawa Perdana Menteri ada mengeluarkan kenyataan berhubung akta hasutan itu akan dimansuhkan, Yusaini Amir berkata akta itu masih berkuatkuasa dan selagi ia sah, akta itu tidak boleh dilanggar.

Sementara itu Surendran memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pertuduhan atas alasan salah guna kuasa kerana pertuduhan yang dihadapi anak guamnya itu berbaur politik.

Mohamad Sekeri membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 April depan untuk sebutan kes.

Mohamad Sekeri berkata akta hasutan itu masih belum dimansuhkan dan selagi belum dimansuhkan, akta itu masih terpakai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS