Seramai kira-kira 500 orang pekerja asing dari sebuah kilang di Nilai, Negeri Sembilan mengadakan mogok dengan tidak bekerja bermula Jumaat lalu kerana menuntut gaji minimum sebanyak RM900.
Aktivis Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) Negeri Sembilan, P Nithiyavani berkata pekerja yang kebanyakannya dari Bangladesh, Vietnam dan Nepal itu mengadakan mogok bagi mendesak kilang tempat mereka bekerja membayar gaji minimum seperti yang diumumkan perdana menteri sebelum ini.
Menurutnya lagi, selain mogok, pekerja itu turut mengadakan piket secara aman semalam di hadapan asrama kediaman mereka yang turut dihadiri Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan.
"Syarikat itu merupakan syarikat milik jutawan yang didakwa mendapat keuntungan sehinga $AS1 bilion. Mereka (pekerja) yang kebanyakan pekerja asing cuma mahukan gaji minimum RM900 dibayar. Tetapi syarikat itu dari bulan Januari masih tidak memberi gaji minimum.
"Pekerja bekerja 30 hari tanpa cuti dan dibayar dengan RM500 hingga RM700 sebulan. Bila tanya pada pihak pengurusan mengapa tak bayar, mereka tak bagi jawapan.
"Sebab itu pekerja itu mogok tak nak pergi kerja dan kita membuat piket semalam untuk tuntut jawapan. Tapi semalam pihak jabatan buruh kilang itu masih tak beri kata putus," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .
Dakwa diugut tangkap
Selain itu, Nithiviyani berkata, pihaknya hari ini turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai kerana ada dakwaan daripada pekerja asing dari Vietnam mengatakan beliau diugut akan ditangkap oleh pihak polis sekiranya tidak datang bekerja.
Katanya, pekerja itu turut mendakwa ugutan itu dilakukan oleh majikannya yang turut diiringi anggota polis ke asrama kediaman pekerja malam semalam.
"Kita baru lepas buat laporan polis berhubung dakwaan pekerja itu diugut untuk ditangkap sekiranya teruskan mogok. Ada pekerja yang dah takut dan mula pergi kerja.
"Ini adalah penyalahgunaan kuasa oleh majikan dan polis," katanya.
Beliau turut berkata, pihaknya kini sedang merancang untuk mengadakan beberapa tindakan susulan serta akan meneruskan mogok tersebut.
"Kita akan buat tindakan selanjutnya. Tetapi kita akan tunggu seorang jurubahasa kerana kami susah nak berkomunikasi dengan mereka. Mereka tak pandai bahasa Melayu dan kita pun tak pandai bahasa mereka.
"Kita akan tetap teruskan mogok ini sehingga mendapat kata putus daripada majikan itu untuk membayar gaji minimum," katanya lagi.