Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siswa: Pegawai PM burukkan BERSIH, Mkini lepas 'Tanda Putera'

Seorang pegawai kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa memburuk-burukkan gabungan proreformasi sistem pilihan raya BERSIH dan Malaysiakini selepas penayangan filem kontroversi Tanda Putera di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Sabtu lalu.

Pengerusi kumpulan pelajar We Unite For Islam (Wufi) UIA, Mohd Najib Abdul Rahim mendakwa, selepas tayangan filem kira-kira dua jam itu, individu itu membuat 'ulasan' selama 45 minit di hadapan kira-kira 400 pelajar di auditorium universiti itu.

NONE "Di hujung slot, ada sesi ulasan filem. Dalam ulasan ada memasukkan agenda untuk memburukkan kaum lain dan menghasut dan cuba timbulkan kebencian pada orang Cina.

"Dia (pegawai itu) cakap, (ada) anasir-anasir Barat yang masuk ke dalam Malaysia untuk memburukkan Malaysia macam BERSIH dan Malaysiakini .

"Dia juga cakap, anak muda sekarang tak baca Utusan Malaysia, Berita Harian tetapi baca Malaysiakini .

"Dia juga ada tanya kepada audiens siapa yang taja Malaysiakini dan ada yang jawab Apco, ada yang jawab Yahudi dan ada yang jawab Anwar Ibrahim.

"Lepas itu muka dia terus berubah dan dia teruskan bercakap," kata Mohd Najib ketika dihubungi Malaysiakini .

Malaysiakini telah menghubungi pejabat pegawai berkenaan dan pihaknya akan menghubungi Malaysiakini semula untuk menjawab dakwaan tersebut.

Mohd Najib yang turut hadir dalam sesi tayangan itu berkata, orang kanan perdana menteri itu didakwa turut menanamkan sentimen perkauman serta kebencian kepada pembangkang semasa sesi ulasan filem berkenaan selepas itu.

Menurut Mohd Najib, turut hadir pada sesi tayangan itu Rektor UIA Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Prof Madya Datuk Dr Mizan Hitam serta pengarah Tanda Putera Datuk Shuhaimi Baba.

Sementara itu, mengulas kandungan filem itu, Mohd Najib secara peribadi berkata, babak dalam 20 minit pertama yang menyentuh insiden 13 Mei itu akan memberikan perasaan kurang senang jika ditayang pada umum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS