Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar berkata seorang remaja ditembak mati ketika pasukan keselamatan sedang mengesan penceroboh berhampiran zon merah.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang mengesan kumpulan pengganas pada kira-kira jam 9.45 pagi ini di Kampung Sungai Bilis.
Tiga lelaki dewasa dan dua wanita dewasa secara tiba-tiba muncul dari kawasan semak dan pasukan keselamatan dengan serta menahan dan memeriksa kumpulan tersebut.
Ketika pemeriksaan dibuat, pasukan keselamatan mendengar bunyi dari kawasan semak dan secara spontan melepaskan tembakan ke arah berkenaan, katanya dalam sidang media di Felda Sahabat Residence, Lahad Datu petang ini.
Pemeriksaan selepas itu mendapati, tembakan itu mengenai dua individu.
Seorang remaja dianggarkan berusia antara 12 hingga 15 tahun ditembak mati manakan seorang lelaki dipercayai berusia dalam 30-an cedera di kaki.
Ismail berkata polis masih berusaha untuk memastikan identiti individu terbabit termasuk lima yang ditahan.
"Mereka tidak memiliki apa-apa dokumen jadi kita menyiasat dari mana mereka datang dan apa yang mereka buat di sana," katanya.
Kampung Sungai Bilis merupakan satu kampung yang terletak dekat Tanjung Batu.
Kesemua tujuh individu berkenaan, termasuk yang maut dan cedera dikeluarkan dari lokasi berkenaan oleh satu pasukan medik dengan kenderaan berperisai, katanya.
Kesemua yang ditahan tidak memiliki sebarang senjata, katanya.
Jumlah berkenaan menjadikan seramai 62 orang terbunuh sejak krisis itu bermula pada 12 Februari lalu – 53 di pihak penceroboh, lapan pegawai polis dan kini seorang remaja yang masih belum dikenalpasti.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata polis turut menahan tiga orang di Kampung Perigi, Semporna pada pagi ini dan dua lagi di satu kawasan lapang di jalan menghubungkan Semporna dan Tawau.
Ismail berkata penahanan berkenaan berhubung kait dengan siasatan kejadian di Kampung Simunul, Semporna yang mengorbankan enam orang pegawai polis.