Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tian Chua nafi sebut komando polis 'mati katak'
Diterbitkan:  Mar 4, 2013 12:37 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Naib Presiden PKR Tian Chua menafikan dakwaan bahawa beliau menghina pembunuhan komando polis negara sebagai "mati katak" dalam satu ceramah yang didakwa dihadirinya di Puchong.

MP Batu itu berkata, beliau tidak berada di Puchong dan tidak melafazkan kenyataan tersebut, yang didakwanya ditimbulkan untuk mencemarkan imej beliau.

NONE "Semalam beberapa blog pro BN menyiarkan berita palsu bahawa saya telah menghina pembunuhan anggota keselamatan kita dengan istilah "komando mati katak" di satu ceramah di Puchong.

"Ini adalah cerita palsu dan tidak benar sama sekali. Semalam saya tiada di Puchong dan tidak pernah beri ucapan menghina pengorbanan pasukan keselamatan.

"Sebenarnya saya berada di Johor dan dalam semua ucapan saya, saya menyatakan keyakinan dan sokongan saya terhadap pasukan keselamatan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, ketika dihubungi, Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang berkata, berita palsu itu dibuat bagi menimbulkan kebencian orang ramai terhadapnya dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak dibuat oleh beliau.

"Selain berita palsu, mereka meminta pembaca terutamanya anggota polis dan tentera untuk menghantar SMS dan hubungi saya untuk nyatakan bantahan mereka," katanya.

Ahli Parlimen Batu itu juga telah menulis di laman sosial Twitter bagi menafikan dakwaan terhadap kenyataannya itu.

Tindakan undang-undang

Sehubungan itu, Tian Chua berkata, beliau kini sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung berita palsu yang bertujuan untuk menjatuhkannya.

"Saya menyeru semua rakyat Malaysia agar tidak percaya dengan propaganda yang berniat jahat ini. Apa yang diperlukan sekarang adalah rakyat perlu bersatu dan memberi sokongan kepada pasukan keselamatan kita dan tidak percaya helah politik murahan yang bertujuan untuk memburukkan pembangkang," katanya.

Hari ini, beberapa akhbar arus perdana termasuk Utusan Malaysia melaporkan beberapa individu dan NGO di beberapa negeri membuat laporan polis terhadap Tian Chua.

Mereka telah menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas Tian Chua berhubung kenyataan yang dibuat.

Sehingga kini, lapan orang anggota keselamatan telah meninggal dunia di Sabah berikutan pertempuran yang bermula Jumaat lalu.

Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud telah terbunuh pada Jumaat lalu berhampiran Kampung Tanduo, Lahad Datu. Enam lagi terbunuh dalam serangan di Semporna pada hari Sabtu lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS