Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Penceroboh sepatutnya terima tawaran M'sia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina yang berkubu di Kampung

Tanduo, Lahad Datu sepatutnya menerima tawaran menyerah diri dan keluar dari kawasan itu secepat mungkin.

    

"Kita ambil sikap yang berhemah dalam mengendalikan masalah pencerobohan berkumpulan di Lahad Datu kerana kita cuba elak

pertumpahan darah dan selesai masalah dengan baik, tetapi mereka yang terlibat harus sedar bahawa apa yang mereka lakukan itu merupakan kesalahan besar dan serius.

    

"Mereka sepatutnya dapat menerima tawaran kita keluar dari kawasan kita dengan secepat mungkin. Lagi lama mereka kekal di situ mereka akan terdedah dengan bahaya dari segi apa yang boleh berlaku kepada mereka," katanya kepada pemberita di Pekan hari ini.

    

Najib mengulas insiden tembakan di kawasan itu hari ini setelah kumpulan penceroboh yang diketuai adik kepada 'Sultan Jamalul

Kiram III' Agbimuddin Kiram enggan meninggalkan kawasan itu setelah berkubu di kawasan itu lebih tiga minggu dengan membuat beberapa tuntutan.

    

Bagaimanapun beliau bertegas bahawa kerajaan memandang serius apa yang sedang berlaku di Lahad Datu itu.

"Kita tidak akan biarkan perkara ini berlanjutan tanpa sesuatu tindakan yang dilakukan pihak pasukan keselamatan, saya beri jaminan, kita pandang serius dan kita akan lakukan apa saja yang perlu dan menjamin kedaulatan negara kita," katanya.

    

Najib juga memberi jaminan untuk mengambil langkah sewajarnya memperketat keselamatan Sabah.

    

Beliau juga bersetuju dengan kenyataan Presiden Filipina Benigno Aquino III baru-baru ini bahawa kumpulan penceroboh itu agar  jangan menguji kesabaran Malaysia.

    

"Apa yang dikatakan Presiden Aquino memang tepat dengan pendirian kita. Jangan menguji kesabaran kita, kesabaran kita ada had, kita ada perancangan untuk mengusir mereka keluar, sebaik-baiknya mereka menyerah diri dan keluar dengan baik," katanya.

    

Perdana menteri terdahulu melancarkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Pahang di Pekan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS