Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Beberapa terbunuh dalam kejadian berbalas tembak di Lahad Datu
Diterbitkan:  Mar 1, 2013 12:13 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Media Filipina melaporkan bahawa beberapa orang telah terbunuh ketika penceroboh dari kesultanan Sulu berbalas tembak dengan pasukan keselamatan Malaysia di Lahad Datu.

Bagaimanapun ia tidak diketahui anggota dari pihak mana yang terbunuh dalam kejadian tersebut.

Akhbar Philippine Star melaporkan bahawa pihak berkuasa Malaysia memulakan serangan ke atas kubu pihak penceroboh tersebut hari ini.

Akhbar itu memetik laporan radio yang menemubual beberapa saudara-mara Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram, termasuk adiknya Azzimudie Kiram yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu, sebagai berkata terdapat beberapa kematian dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan  Tembakan didengari di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah hari ini yang menjadi tempat kumpulan penceroboh selatan Filipina berkampung.

   

Ia berikutan tindakan pihak keselamatan Malaysia memasuki kawasan itu dipercayai untuk memulakan operasi menahan mereka setelah beberapa siri rundingan gagal dan tempoh pengusiran berakhir.

   

Kejadian itu bagaimanapun masih belum disahkan oleh polis.

Menurut sumber pasukan keselamatan, operasi menahan penceroboh itu dipercayai dijalankan secara bersepadu melibatkan pasukan polis dan tentera termasuk Pasukan Gerakan Am, pasukan Komando 69 dan polis marin.

   

Keadaan di pekan Lahad Datu tegang dengan banyak premis kedai ditutup manakala penduduk pula tidak keluar dari kediaman masing-masing.

   

Pasukan keselamatan mula mengepung Kampung Tanduo pada 11 Feb lepas apabila kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung menceroboh ke perairan Malaysia pada 9 Februari dan menjadikan beberapa premis termasuk rumah dan surau di kampung itu sebagai pangkalan mereka.

   

Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.

   

Kumpulan itu yang didakwa diketuai Agbimuddin Kiram mendakwa mereka adalah tentera 'Raja Sulu' dan menuntut Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.

   

Sejak itu, Malaysia mengadakan beberapa siri rundingan dan menetapkan 22 Februari lepas sebagai tarikh akhir untuk pengusiran mereka.

Bagaimanapun Malaysia melanjutkan lagi tempoh pengusiran mereka kepada 26 Februari sementara menunggu sebuah kapal tentera Filipina tiba untuk membawa kumpulan penceroboh itu pulang ke tanah air.

   

Isnin lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis akan bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai

 faktor bagi merungkai isu pencerobohan warga Filipina itu.

   

Hamza menegaskan pihaknya akan menggunakan undang-undang negara untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada kemasukan orang yang tidak berkenaan ke kawasan itu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS