Individu ketiga yang ditahan bersama bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur atas dakwaan bersubahat menggalakkan keganasan.
Muhammad Hilmi Hasim membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Kamardin Hashim selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Muhammad Hilmi, 33, yang merupakan pekerja kepada Yazid, 49, didakwa melakukan kesalahan itu untuk memajukan suatu ideologi dan perbuatan itu diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Ampang antara 8.30 pagi dan 10.30 pagi, pada 1 Ogos hingga 20 Okt 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Barisan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusoff dan Mohd Dusuki Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan New Sin Yew.
- Bernama