Pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pengarah pilihan raya BN Selangor menimbulkan lebih banyak spekulasi berhubung pertembungan antara fraksi dalam Umno negeri.
Timbalan pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad berpendapat, tindakan itu mungkin bertujuan untuk menghalang perebutan kuasa antara pemimpin tertinggi dalam Umno negeri untuk jawatan menteri besar sekiranya BN berjaya merampas semula pentadbiran Selangor.
MP Shah Alam itu memberitahu Malaysiakini bahawa perkembangan itu menunjukkan BN tidak mempunyai calon menteri besar dan tidak dapat mengenalpasi kepimpinan BN negeri.
Dua pemimpin BN Selangor yang dilihat sebagai calon menteri besar ialah koordinator BN negeri Datuk Seri Mohd Zin Mohamed dan timbalannyam Datuk Seri Noh Omar.
Namun kedua-duanya antara lainnya dilihat tidak dapat bertemu mata dalam soal strategi pilihan raya.
Jelas, Najib mengelak daripada memilih calon MB menjelang pilihan raya umum bagi mengelakkan sabotaj dari fraksi yang tidak dipilih.
Setiausaha PKR Selangor Amiruddin Shaari berkata tindakan memperbesarkan peranan Najib di negeri itu menunjukkan bahawa BN tidak yakin.
"Nampaknya mereka seperti dalam keadaan panik. Jelas wujud perpecahan di kalangan pemimpin negeri mereka," kata ADUN Batu Caves itu.