Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BR1M: Ada yang sampai kucup tangan, kata Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebagai Perdana Menteri beliau tidak akan menjual maruah kerajaan, menjanjikan sesuatu yang tidak mungkin ditunaikan.

Katanya beliau tidak akan korbankan masa depan rakyat dan negara kerana hendakkan undi dalam pilihan raya.

"Kita mesti ada prinsip dalam perjuangan, dalam hidup kita mesti ada prinsip sebab itulah pilihan raya umum bukanlah tentang siapa akan menang tapi destini negara kita...masa depan penentuannya akan kita tentukan tak lama lagi.

"Oleh itu, marilah kita kuatkan semangat, rapatkan barisan, tanam dalam hati bahawa kalau parti menang, masa depan dan hari esok masih ada," katanya pada majlis perjumpaan kepimpinan akar umbi BN Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Najib yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri ini sebelum itu mendengar taklimat BN negeri.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan; Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek.

Perdana Menteri berkata BN perlu berpakat dan mencari formula terbaik sebab kekuatan dalaman adalah amat penting kerana sekiranya BN kalah ini menunjukkan BN tidak bersatu dalam erti kata sebenarnya.

"Oleh itu, kenal lah diri sendiri, kekuatan kita, kelemahan kita, kelemahan musuh dan kekuatan musuh...segala kelemahan kita perbaiki, saya yakin dan percaya bumi Negeri Sembilan ini BN akan bertambah lagi kuat."

Perdana Menteri berkata sokongan rakyat kepada BN pada hari ini semakin baik sebab rakyat sudah yakin.

"Hak sebelah sana (pembangkang) cakap, janji tapi yang buat kita (BN)...yang laksana BN lah. Senanglah nak janji, sesiapa boleh janji...janji mansuh PTPTN, tol, kurangkan minyak, free ini itu...senang...tidak payah ada kelulusan, siapa pun boleh cakap. Tapi pilihan raya memilih kerajaan yang bertanggungjawab, yang boleh bawa kita ke masa depan yang jauh lebih baik, yang menaikkan martabat, maruah bangsa dan negara.

"Inilah kerajaan kita, kerajaan BN. Kita tak tipu rakyat, kita tak menjual dasar populis, kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab untuk masa depan negara," katanya.

Beliau berkata rakyat kini semakin yakin dengan kerajaan BN kerana kerajaan memastikan setiap janji termasuk yang diumumkan dalam Belanjawan ditepati dan ditunaikan.

"Mereka (rakyat) terima BR1M 1(Bantuan Rakyat 1Malaysia) RM500 tapi saya diberitahu BR1M 2.0 lebih lagi penerimaannya...ada yang salam sampai kucup tangan, ada yang salam kata kali ini saya undi BN. Sebab tu kalau ada pemimpin yang sudah pun cakap celupar, yang telah sasau....saya tak hairan kerana rakyat akan mengadili pemimpin sebegini.

"Saya dah pergi banyak tempat...bila saya salam dengan orang, saya rasa salam macam dia nak sokong saya...tak taulah kalau kena tipu, tapi bila dia salam itu rasa macam betul-betul nak sokong kita.

"Rakyat biasa semua salam, tengok lain macam tapi kalau saya terlepas pandang dia panggil supaya saya salam dia. Ada yang kata I love you dan yang tak pandai bahasa Inggeris pun, orang, wanita kampung ini boleh cakap IM4U," katanya.

Perdana Menteri berkata sejarah telah membuktikan kalau perubahan itu berlaku berdasarkan dari atas ke bawah dan mendasari kehendak rakyat, perubahan itu memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

"Kita boleh menyingkap sejarah peradaban Jepun misalnya dari atas ke bawah. Kita boleh bagi contoh lain dan yang terkini Arab Spring, belum lagi menampakkan apa yang diharapkan iaitu dividen keberhasilan daripada kejutan tersebut menghampa dan mengecewakan rakyat negara tersebut.

"Sebab itulah transformasi lebih baik daripada reformasi. Reformasi mengajar rakyat berdemonstrasi, akhirnya baling kerusi, tapi transformasi membawa kita kepada kejayaan dan manfaat kepada negara. Mereka (pembangkang) mengajar rakyat untuk tunjuk perasaan buat demonstrasi jalanan, kita (BN) membina sikap rakyat.

Kalau tak setuju pun buatlah perjumpaan secara aman...patuhi undang-undang. Dia (pembangkang) suruh rakyat langgar undang-undang, kita (BN) didik rakyat supaya hormat undang-undang.

"Dia (pembangkang) janji macam-macam, bila kita buat janji, ditepati dan mereka gelisah,..sebab apa, sebab BN janji ditepati...pembangkang janji kosong," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS