Sekumpulan 80 orang peserta yang menamatkan perjalanan terakhir dalam perarakan jalan kaki 'Tidak Berdiam Diri' disambut meriah oleh ratusan individu dalam satu acara simbolik di Pagansakan, Penampang petang ini.
Seorang aktivis yang menganjurkan acara tersebut Andrew Ambrose berkata peserta berkenaan menyerahkan skrol mengandungi kenyataan yang antara lainnya menggariskan mengenai pilihan raya bersih dan adil.
Tuntutan berkenaan juga menyenaraikan komitmen untuk meningkatkan urus tadbir baik kerajaan, penjagaan alam sekitar, pemeliharaan hak Orang Asal, serta tuntutan terhadap pilihan raya yang bersih dan adil.
Ia diserahkan kepada 22 orang wakil masyarakat setempat termasuk MP Penampang Tan Sri Bernard Dompok, setiausaha DAP Sabah Dr Edwin Bosi serta ketua wanita PKR Penampang Jennifer Lasimbang
"Kami akan memanggil mereka (penerima deklarasi) untuk memobilisasi kumpulan mereka dalam masa-masa akan datang," jelas Ambrose.
Majlis turut bertukar seperti festival apabila hadirin dan peserta menari tarian Sumazau beramai-ramai di penghujung acara, tambahnya.
Kembara sejauh 60 kilometer dari Tambunan ke Penampang bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil itu berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 22 Februari lepas.
Andrew berkata, seramai 80 orang peserta nekad menamatkan acara berjalan kaki dari Babagon ke Pagansakan meliputi jarak terakhir sejauh lapan kilometer bermula pagi tadi walaupun polis memberi amaran bahawa acara tersebut merupakan "perhimpunan haram".
Amaran itu menurutnya diberikan ketua polis daerah Penampang, DSP Ratan Singh Kumar kepada seorang lagi aktivis, Anne Lasimbang sewaktu mereka berhenti di Babagon malam tadi.
"Peserta sebulat suara menolak ancaman (polis) dan sebulat suara juga mahu menerukan perjalanan," kata Andrew sambil menambah bahawa mereka telah memberikan dua notis kepada polis berkenaan acara itu sebelum ini.
Tambahnya, polis tidak membuat sebarang sekatan di mana-mana tempat sepanjang laluan mereka, kata Andrew selepas kumpulan itu tiba di Pagansakan kira-kira jam 2 petang tadi.
Perarakan hari ini turut disertai kumpulan aktivis Himpunan Hijau yang dipimpin pengerusinya Wong Tack.
Sementara itu beberapa orang aktivis hak pribumi turut berhimpun dan berarak di beberapa lokasi di Kuala Lumpur petang ini.
Kumpulan berkenaan yang dipimpin aktivis Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) Jenita Engi membawa poster dengan slogan "Hentikan eksploitasi hak kami", "Hormati tanah adat Orang Asal", dan "Bersama dalam perjuangan".