Serangan yang dilakukan terhadap Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) ketika berada di Pekan, Pahang minggu lalu tidak mematahkan semangat mereka untuk meletakkan calon bertanding di parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusinya Syis Abdul Kadir berkata selain tidak serik, pihaknya juga akan kembali ke parlimen Pekan - yang diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak - selepas pembubaran parlimen.
"Tak serik... Kita berundur dari Pekan pun sebab tak mahu bergaduh dengan mereka semua dan kita lakukan prosedur sepatutnya iaitu membuat laporan polis.
"Serah pada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan. Kami akan turun lagi untuk fasa kedua lepas pembubaran. Sekarang (masih) dalam perbincangan.
"Pendirian tetap sama, tak berubah. Kita akan umumkan calon pada hari penamaan calon," katanya dalam sidang mesia selepas menyerahkan memorandum dan bukti serangan kepada polis di Bukit Aman pagi ini.
Minggu lalu, kumpulan mahasiswa tersebut mendakwa mereka diserang dan diugut dengan parang oleh individu yang tak dikenali sewaktu mengedarkan risalah 'Surat Mahasiswa untuk warga Pekan' di kawasan yang menjadi kubu kuat BN.
Dalam siri serangan tersebut, dua orang mahasiswi dari universiti tempatan turut mendakwa ditarik tudung oleh individu yang didakwa ahli Umno ketika mengedarkan risalah tersebut di Bandar Pekan pada hari Jumaat lalu.
Syis yang ditemani lapan rakan GM13 yang lain menyerahkan memorandum bantahan keganasan samseng terhadap mahasiswa di Pekan kepada pihak polis kira-kira jam 11.35 pagi.
Memorandum itu diserahkan kepada Urus Setia Ketua Polis Negara, Bahagian Komunikasi Korporat Bukit Aman, ASP N Kavetha yang telah menunggu mahasiswa itu di luar pintu masuk ke ibu pejabat itu.
Bersama memorandum itu turut, kumpulan pelajar itu turut menyerahkan beberapa keping gambar termasuk wajah 16 individu yang didakwa menyerang mereka.
Syis yang juga presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) itu berkata, beliau meminta polis agar melakukan siasatan dengan segera.
"Kita dah buat satu serahan memorandum pada PDRM untuk meminta siasatan dijalankan dengan segera terhadap keganasan yang dibuat pada mahasiswa tempohari.
"Kalau kita nak kata penduduk tempatan, waktu kita pergi rumah ke rumah, penduduk tempatan tak ada masalah. Tapi ketika di bandar Pekan, beberapa individu itu keluar daripada bangunan Umno bahagian," katanya lagi.